Hajiji kini Presiden Gagasan Rakyat secara rasmi - Utusan Malaysia

Hajiji kini Presiden Gagasan Rakyat secara rasmi

HAJIJI Noor (kiri) bersama bekas Presiden Gagasan Rakyat, Stephen Jimbangan semasa tiba pada EGM Gagasan Rakyat di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor secara rasmi mengambil alih tampuk kepimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) susulan Mesyuarat Agung Khas (EGM) parti berkenaan hari ini.

Beliau berkata, pelancaran parti di bawah kepimpinan baharu akan dilakukan pada 2 Mac depan.

Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, kini semua anggota gabungan ini 100 peratus parti tempatan dan wadah politik itu akan digunakan bagi meneruskan perjuangan kepada rakyat dan negeri ini.

“Dua ciri utama Gagasan Rakyat yang menjadi faktor mendorong saya dan rakan-rakan untuk bersama-sama dalam parti ini adalah ia parti berbilang kaum yang membawa citra inklusif dan parti suara anak Sabah yang mengangkat citra perjuangan tempatan,” katanya semasa EGM Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Asas perjuangan itu memberi keyakinan kepada rakan-rakan dalam GRS untuk menerima segera Gagasan Rakyat sebagai rakan komponen terbaharu.

Menurut Hajiji, komponen dalam GRS juga sudah lama menyatakan hasrat agar GRS menjadi platform tempatan dalam erti kata sebenar, iaitu semua rakan kongsi menjadi parti tempatan.

Selain itu katanya, agenda Gagasan Rakyat juga selari dengan empat tonggak perjuangan GRS iaitu Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu).

Walau bagaimanapun, itu bukan bermakna GRS menolak agenda nasional atau membelakangkan kepentingan negara sebaliknya, gabungan tersebut mahu mengubah tahap pembangunan rakyat dan bumi Sabah.

“Kita mahu pelaksanaan sistem federalisme yang lebih bernilai dan bermakna dengan berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),

“Atas faktor itu, kami akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menerima dan mengutamakan kepentingan Sabah.

“Apa yang lebih penting bagi kita ialah mendapat pengiktirafan dan pelaksanaan hak, kuasa serta kedudukan istimewa Sabah seperti yang termaktub dalam undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan, undang-undang yang mewujudkan Persekutuan Malaysia, iaitu MA63. Tiada Malaysia tanpa MA63,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, beliau amat menghargai usaha yang dilakukan kepimpinan tertinggi negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu komited untuk menunaikan tanggungjawab melaksanakan tuntutan dalam MA63. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya