Graduan ICT antara rebutan majikan

Graduan ICT antara rebutan majikan

SISWAZAH dalam bidang ICT menjadi rebutan majikan masa kini. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT) terutamanya yang berkaitan dengan perniagaan dalam talian adalah antara sembilan bidang yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan untuk mencari pekerja pada tahun ini.

Malah, tinjauan Utusan Malaysia menerusi portal Linkedin, Indeed dan MYFutureJobs mendapati, lebih 40,000 kekosongan berkaitan bidang tersebut ditawarkan oleh majikan-majikan di seluruh negara.

Sementara itu Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, ini berikutan bidang  ICT menyediakan  pelajar dalam  pelbagai bidang perkomputeran dan dunia digital.

Ujarnya. graduan dalam bidang berkenaan mempunyai masa depan cerah kerana bidang itu berkembang pesat di Malaysia dan seluruh dunia.

“Graduan bidang ICT mempunyai  permintaan  tinggi dalam perniagaan secara dalam talian, penggunaan data dan teknologi.

“Bidang ICT dan kemahiran jurutera perisian menjamin peluang untuk mendapat kerja,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, selain bidang ICT, kebanyakan majikan juga mencari pekerja yang berkelulusan pengurusan perniagaan.

Katanya, kemahiran dalam bidang perniagaan terutamanya fungsi pengurusan dan juga aspek-aspek ekonomi, kewangan, perundangan dan aspek pemasaran dalam perusahaan perniagaan  moden diperlukan untuk mengurus perniagaan swasta.

“Graduan  pengurusan perniagaan senang  mendapat pekerjaan kerana ia bukanlah satu jurusan yang khusus pada sesuatu cabang pekerjaan sahaja.

“Kemahiran  pengurusan perniagaan  diperlukan dalam semua aspek pekerjaan baik di semua sektor ekonomi iaitu pembuatan ,perkhidmatan, perladangan  dan perlombongan.,” katanya.

Selain itu, kata Syed Hussain, majikan pada masa kini juga memberi tumpuan kepada graduan yang berkelulusan sains fizikal, kejuruteraan, perakaunan dan sains hayat.

Menurutnya, graduan kursus sains fizikal juga mudah mendapat kerja selepas belajar kerana kekurangannya tenaga kerja dalam bidang ini terutamanya apabila syarikat itu melihat kepentingan persekitaran.

“Graduan dalam bidang kejuruteraan awam, kimia, perlombongan, mekanikal, pengeluaran, telekomunikasi, elektrik dan elektronik adalah antara bidang kejuruteraan yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran .

“Graduan perakaunan pula mempelajari  bidang  perakaunan mempelajari matematik, ekonomi dan pengurusan perniagaan yang membolehkan seseorang bekerja di mana-mana syarikat .

“Selain  menjadi akauntan profesional,  siswazah boleh menceburi kerjaya lain seperti  juru audit, pembuat dasar ekonomi dan percukaian,” jelasnya.

Syed Hussain menambah, empat lagi bidang yang diberi tumpuan pula adalah bidang sains hayat, perhubungan awam dan komunikasi media, sains sosial dan veterinar.

Katanya, sains hayat merupakan bidang kedoktoran, pergigian dan bidang perubatan lain seperti farmasi, fisioterapi, audiologi dan kejururawatan mempunyai permintaan tinggi dan senang dapat kerja.

“Perhubungan awam  dan komunikasi media pula adalah  kemahiran yang mendapat permintaan tinggi  dalam kalangan majikan. Penulis kandungan, pegawai perhubungan awam dan pengaturcara atau pengurus agenda adalah antara bidang yang boleh diceburi graduan  perhubungan awam  dan komunikasi media.

“Sains sosial pula adalah bidang yang mengkaji perkara  berkaitan  manusia  termasuk  ilmu psikologi, sosiologi, ekonomi, sains politik dan pendidikan. Graduan daripada jurusan sains sosial banyak mendapat perhatian  majikan untuk jawatan berkaitan  sains politik, penasihat ekonomi dan pendidikan  dan guru kaunseling.

“Veterinar pula adalah bidang  kesihatan haiwan yang mempunyai permintaan  tinggi  bersesuaian dengan perubahan gaya hidup masyarakat dan sikap terhadap haiwan peliharaan. Kesedaran yang semakin tinggi terhadap nilai kasih sayang kepada haiwan menaikkan populariti program pengajian veterinar,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×