Grab, persatuan pemandu bincang struktur tambang - Utusan Malaysia

Grab, persatuan pemandu bincang struktur tambang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) dan Grab Malaysia dijangka mengadakan perjumpaan tertutup berhubung isu penstrukturan kadar baharu tambang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber GDMA berkata, Grab Malaysia memaklumkan persatuan itu mereka sedia berjumpa tanpa sebarang birokrasi susulan isu berkenaan.

“Sejak awal kami menyuarakan ketidakpuasan hati daripada golongan pemandu, Grab Malaysia tidak culas dan bersedia berjumpa kami dalam masa terdekat bagi membincangkan hal ini supaya semua pihak berpuas hati dan mendapat untung.

“Saya yakin dan meletakkan kepercayaan penuh kepada kedua-dua pihak ini untuk berbincang dan menyelesaikan hal ini secara tertutup dan berhemah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan komen daripada pihak Grab Malaysia masih belum berhasil.

Terdahulu, Grab Malaysia meng­umumkan perubahan struktur tambang iaitu tambang untuk setiap minit menjadi lebih tinggi.

Menurutnya, perubahan itu kononnya menguntungkan para pemandu Grab kerana mereka akan menerima bayaran lebih baik ketika waktu puncak dan juga ketika kesesakan lalu lintas.

Melalui kadar baharu tambang, tambang per minit diubah daripada 20 sen kepada 43 sen manakala tambang per kilome­ter pula dikurangkan daripada 70 sen kepada 25 sen.

Selain itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan turut meluahkan kegusaran beliau terhadap kadar baharu tambang itu dan memohon Kementerian Pe­ngangkutan campur tangan.

Katanya, tindakan Grab Malaysia itu sebenarnya menjadi penghalang besar kepada usaha Kerajaan Perpaduan untuk membantu rakyat berhadapan dengan tekanan ekonomi yang dihadapi pasca Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN