KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini dimulakan dengan bacaan al-Fatihah serta bertafakur berikutan kejadian gempa bumi di Turkiye dan Syria sehingga meragut lebih 30,000 nyawa.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua ahli parlimen bangun bagi memberi penghormatan mengenai perkara itu.
“Sebelum meneruskan titah, beta ingin merakamkan ucapan takziah kepada Presiden serta seluruh rakyat Turkiye dan Syria di atas kejadian gempa bumi yang telah meragut nyawa baru-baru ini.
“Sesungguhnya Malaysia berasa amat berdukacita di atas musibah tersebut. Justeru beta meminta ahli-ahli yang berhormat untuk berdiri bertafakur bersama beta dan kepada yang beragama Islam, marilah kita sedekahkan al-Fatihah,” titah baginda dalam ucapan Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong sebelum itu berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15.
Turut berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada jam 10 pagi di Dataran Parlimen disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – UTUSAN










