Gempa: Aman Palestin hantar bantuan awal USD30,000

Gempa: Aman Palestin hantar bantuan awal USD30,000

Siasatan mendapati derma untuk penduduk Palestin diguna untuk tujuan lain termasuk membeli emas dan bangunan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aman Palestin menghantar sumbangan berjumlah USD30,000 sebagai satu bentuk bantuan awal di kawasan yang terjejas akibat bencana gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Menurut kenyataannya, langkah praktikal itu diambil kerana prihatin dengan mereka yang pada saat ini amat memerlukan bantuan dan sokongan daripada seluruh negara. 

Sehubungan itu, katanya, ia memerlukan tanggungjawab bersama dalam memberikan sokongan yang jitu kepada mereka bagi menghadapi situasi yang sukar itu. 

“Aman Palestin juga melancarkan kempen Bantuan Gempa Bumi Turkiye-Syria. Kempen ini bertujuan mengumpul bantuan berbentuk kewangan untuk disalurkan kepada saudara kita di kawasan yang terjejas. 

“Antara keperluan mendesak di sana adalah seperti khemah, kotak makanan, pemanas dan kerosin, bantuan klinikal serta makanan panas,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi. 

Dalam pada itu, Aman Palestin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, Indonesia dan seluruh nusantara agar bersolidariti dengan mereka yang berada di Turkiye dan Syria. 

Selain itu, Aman Palestin juga mengajak semua untuk berganding bahu dalam memberikan bantuan yang terbaik buat mereka bagi meringankan beban yang sedang mereka alami.

“Aman Palestin merakamkan takziah dan simpati atas bencana yang dihadapi oleh saudara kita di Turkiye dan Syria,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN