Gangguan seksual babit Ebit Lew: perbicaraan melalui kamera

Gangguan seksual babit Ebit Lew: perbicaraan melalui kamera ditolak

EBIT Lew (dua kanan) bersama peguamnnya Ram Singh (tengah) dan Kamarudin Mohmad Chinki semasa tiba di Mahkamah Majistret Tenom
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Mahkamah Majistret hari ini tidak membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meneruskan perbicaraan kes gangguan seksual Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew,37, diadakan secara tertutup melalui kamera.

Majistret Nur Asyraf Zolhani membuat keputusan itu setelah mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak mengenai permohonan pihak pendakwaan untuk mendengar keterangan dua saksi seterusnya melalui kamera.

Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria memohon kepada mahkamah agar dua saksi perbicaraan seterusnya iaitu Inspektor Yip Chang Ching dan pengadu iaitu seorang wanita berusia 42 tahun diadakan secara tertutup tanpa kehadiran orang awam.

Zahida memberitahu mahkamah bahawa perbicaraan seterusnya yang membabitkan Inspektor Yip iaitu Pegawai Penganalisis Forensik yang akan memberi keterangan kepada mahkamah mengenai hasil analisis 90 bahan pornografi (lucah) yang terlibat dalam perbicaraan kes ini.

Dalam hujahnya, Zahida memberitahu mahkamah bahawa mereka tiada masalah untuk Inspektor Yip memberi keterangan di mahkamah terbuka namun, bagi pengadu, beliau perlu memberi penjelasan mengenai imej daripada hasil analisis 90 bahan lucah yang akan dikemukakan kepada mahkamah. Susulan itu, pendakwaan memohon perbicaraan membabitkan pengadu dilakukan secara tertutup melalui kamera.

Memandangkan keterangan yang akan diberikan oleh saksi berbaur lucah maka, demi keadilan, pendakwaan memohon perbicaraan dilakukan melalui rakaman kamera.

Walau bagaimanapun, Peguam mewakili Ebit Lew, Ram Singh membantah permohonan dilakukan pihak pendakwaan kerana berdasarkan pertuduhan ia hanya membabitkan satu gambar sahaja. Keterangan Inspektor Yip dan juga pengadu amat penting kepada semua pihak.

Justeru, pihak pembelaan berpendapat keterangan Inspektor Yip tidak wajar dilakukan melalui kamera. Untuk pengadu pula, pengecaman terhadapnya telah dilakukan maka, perbicaraan menerusi kamera tidak akan memberi kelebihan kepada anak guamnya, Ebit.

Malah, pihak pembelaan juga membantah Inspektor Yip dipanggil sebagai saksi kerana bukti dalam pemacu kilat yang mengandungi 90 bahan lucah tersebut tidak berkaitan dengan pertuduhan dalam kes berkenaan.

Dalam keputusan itu, Majistret memberitahu kedua-dua belah pihak, bahawa saksi iaitu Chang Ching adalah orang dewasa yang akan memberi keterangan atas kapasitinya sebagai penganalisis forensik.

Majistret berpandangan bahawa tiada keperluan untuk mahkamah mendengar keterangan saksi melalui kamera mengikut Seksyen 101 Akta Mahkamah Rendah (CSA) 1948. Memandangkan kes ini membabitkan jenayah seksual maka, bukti mengandungi bahan lucah memang boleh dijangka.

Bagi tertuduh pula, mahkamah berpandangan agak tidak matang untuk memutuskan bahawa keterangan pengadu perlu dibuat melalui kamera mahupun tidak namun, pendakwaan boleh memohon semula perkara yang sama semasa perbicaraan berlangsung.

Mahkamah mengingatkan orang awam untuk tidak mengambil sebarang gambar atau video sepanjang perbicaraan berlangsung.

Ebit Lew didakwa bagi 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021. Maka, kes ini didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida dan Nur Masrin Amalia manakala, Ebit Lew diwakili Peguam Ram, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya