KUALA LUMPUR: Gaji pakar dalam pelbagai bidang akan ditingkatkan bagi menangani isu brain drain yang dihadapi negara ketika ini.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, usaha itu sedang dilakukan bagi menarik pakar warganegara Malaysia untuk kembali serta mengekalkan pakar sedia ada di masa akan datang.
“Orang yang mencari pekerja dalam bidang seperti teknologi tinggi akan mengharapkan gaji lebih tinggi jadi memang pada ketika ini, gaji untuk pekerja ditetapkan pasaran itu sendiri.
“Saya yakin bahawa dalam jangka pertengahan dan panjang, gaji pasaran akan sedikit demi sedikit akan meningkat. Kalau tak naikkan gaji kepada pekerja, maka kita akan kehilangan pekerja mahir, mereka tinggalkan negara dan pergi negara lain, mencari pendapatan yang lebih tinggi, setimpal dengan kemahiran dan pendidikan mereka,” katanya dalam sidang aknbar selepas pembentangan Belanjawan 2023.
Katanya, langkah itu sekali gus memberi tekanan kepada majikan untuk menaikkan gaji pekerja pada masa akan datang.
“Gaji adalah satu faktor penentu untuk mereka tidak keluar negara jadi saya menyarankan kepada majikan supaya memastikan untuk mengekalkan tenaga pakar, maka gaji faktor perlu dititik beratkan oleh semua majikan,” katanya
Dalam Belanjawan 2023, Kementerian Sumber Manusia menerima RM1.4 bilion berbanding RM1.3 bilion tahun lalu.
Justeru, katanya, kementerian akan terus mencari jalan untuk menangani isu brain drain.
“Banyak usaha telah diambil kerajaan di bawah kementerian terutama agensi TalentCorp, mereka sedang berusaha membawa pulang pakar yang bekerja di negara lain kerana jumlahnya agak besar.
“Walaupun banyak kekangan tertentu tetapi inisiatif diambil untuk membawa balik mereka dan pada masa sama, kami juga mencari kaedah dan mekanisme terbaik bagi memastikan bukan sahaja mereka dibawa balik tapi kita pastikan tenaga pakar dan yang mempunyai kemahiran dan pendidikan tinggi tidak meninggalkan negara untuk mengelakkan brain drain berlaku,” katanya. – UTUSAN