KUANTAN: Enam daripada tujuh penumpang yang cedera parah dalam nahas tragis membabitkan van pelancong yang terbabas di Kilometer 4.8, Jalan Genting Highlands di Bentong, dekat sini semalam dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lima daripada mereka dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala seorang lagi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
“Semua mangsa yang kritikal adalah wanita. Keadaan enam wanita itu teruk manakala mangsa ketujuh dirawat di HKL dan keadaannya disifatkan sebagai tidak kritikal.

“Setakat ini, mereka yang maut dalam kemalangan itu tujuh orang termasuk pemandu van dan pembantunya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Pahang daripada Datuk Abdul Razak Mohd. Yusoff kepada Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Hisam Nordin di Dewan Tun Razak Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.
Mangsa yang maut di tempat kejadian dalam kemalangan pukul 1.15 tengah hari semalam itu ialah pemandu van, Wong Choun Chiet, 49, serta lima penumpang, Foon Ah Lan, 67, Lee Moy, 67, Ang Meng Hong, 62, Seow Mee Tin, 72, dan Wong Ah Mooi, 83.
Seorang lagi penumpang, Chang Them Kong, 70, dilaporkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Siasatan polis mendapati kesemua penumpang yang terdiri daripada 12 orang wanita dan seorang lelaki dalam perjalanan dari Genting Highlands pulang ke Pulau Pinang selepas bercuti di Genting Highlands.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, berdasarkan siasatan awal, polis mendapati van pelancong dari Pulau Pinang terbabit mempunyai permit yang sah.
Jelas beliau lagi, polis juga mendapati keadaan penumpang dalam van tersebut juga tidak melebihi kapasiti tempat duduk yang dikhaskan bagi kenderaan tersebut.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan itu berlaku apabila pemandu hilang kawalan ketika sedang melalui selekoh dan telah merempuh pembahagi konkrit.
“Polis akan meneruskan siasatan yang lebih terperinci tentang punca kemalangan tersebut dengan kerjasama beberapa agensi lain.
“Susulan itu, pihak polis mengalukan agensi seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia untuk bersama-sama melihat punca nahas ini daripada skop yang lebih besar termasuk membabitkan keadaan kenderaan, brek dan keadaan jalan di mana kejadian itu berlaku,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu terutama membabitkan luar kawasan atau menggunakan jalan baharu yang mungkin tidak biasa.
Tambah beliau, di Pahang ini lokasi pelancongan banyak melibatkan kawasan tanah tinggi dan pemandu seharusnya perlu lebih peka dan mengetahui terlebih dahulu keadaan tempat dituju terutama laluan melibatkan selekoh tajam. – UTUSAN