PETALING JAYA: Kerangka Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan sumbangan politik sudah siap dan cuma memerlukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri untuk dibentangkan di Parlimen.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerangka akta berkenaan sebelum ini disasarkan dibentangkan selewat-lewatnya pada sidang akan datang yang bermula 13 Februari hingga 30 Mac ini.
Beliau berkata, ini kerana draf RUU itu dari sudut kerangka besar sudah siap dengan kerajaan sebelum ini juga secara prinsipnya bersetuju untuk melaksanakan selepas melalui beberapa libat urus dengan Pusat Governans Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Dalam kerangka ini, kita bersetuju supaya setiap ahli Parlimen boleh menerima dana dan setiap mereka boleh mengadakan akaun bank yang dipersetujui mengikut undang-undang itu di peringkat-peringkat yang dibolehkan.
“Akaun bank itu (diputuskan) mesti ada pengurusan yang amat betul, tidak boleh diselewengkan macam yang diwujudkan parti sekarang. Setiap (transaksi atau sumbangan) perlu berdaftar dan dinyatakan secara terperinci siapa (sumbang) supaya terbuka.
“Kalau orang takut sumbang banyak parti sebab (sumbangan) dinyatakan terperinci, maka itu bukan masalah asalkan ia telus, diketahui umum dan boleh disemak oleh mana-mana badan yang kawal selia.
“Pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga dibolehkan untuk membuka akaun dan (menerima) sumbangan, tetapi diselaraskan oleh kuasa bersama di peringkat negeri dan kerana kebebasan negeri dalam soal politik DUN serta berpendapat supaya peringkat negeri adakan peruntukan khas untuk diaplikasikan di peringkat negeri,” katanya ketika dihubungi semalam.
Utusan Malaysia melaporkan, penganalisis politik menggesa kerajaan membentangkan RUU berkaitan pendanaan politik bermula pada mesyuarat pertama Parlimen Penggal ke-15, 13 Februari ini kerana ia sudah lama tertangguh.
Gesaan itu dibuat selepas akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa menyeleweng dana kerajaan bernilai RM92.5 bilion.
Tanpa adanya undang-undang yang mengikat parti politik untuk mengisytiharkan sumber dan wang yang diperoleh, dikhuatiri lebih banyak parti politik terus membudayakan perolehan dana meragukan.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi yang juga bekas Ahli Parlimen Santubong berkata, kerangka RUU berkenaan juga sudah memutuskan supaya kerajaan perlu mengadakan satu badan tersendiri yang diberi sokongan kewangan dan sebagainya untuk mentadbir dana politik.
Katanya, ia diputuskan selepas pihaknya mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung siapa yang perlu bertanggungjawab ke atas pemantauan dana politik itu.
“Setelah mengetahui pihak itu ada kelemahan sendiri, jadi kita buat keputusan supaya mewujudkan satu badan berasingan macam suruhanjaya.
“Contoh apabila letak bawah SPR akan kompromikan kedudukan SPR sebagai badan bebas dan SPR beri alasan supaya kedudukan mereka tak boleh dikompromi.
“RoS juga begitu, RoS ini di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), jadi tak ada kebebasan, takut nanti dimonopoli kuasa oleh menteri, begitu juga dengan SSM.
“Kita juga putuskan orang yang kita jangka dipilih ketuai badan itu adalah orang yang boleh profesional dan pendirian dia itu tidak boleh dikompromi sebab mentadbir dana politik bukan semudah yang kita fikirkan kerana (individu itu) akan ada kuasa, anggota dan kepakaran,” jelasnya.
Beliau menambah, dana politik amat kritikal dan perlu dipercepatkan bagi mengelak supaya pergerakan politik negara ini bersih, terbuka dan bertanggungjawab serta tidak ada mana-mana individu boleh dianiaya sama ada melalui sumbangan berbentuk tunai atau transaksi bank.
Justeru katanya, kelulusan berkaitan dana politik itu amat penting bagi mengelak was-was dan persepsi buruk kepada mana-mana pihak, selain pihak berkuasa juga mudah untuk menyiasat mengikut garis panduan akta berkenaan.
“Oleh itu, draf undang-undang itu (boleh) bawa kepada Jemaah Menteri dan Azalina, kalau beliau tak mahu baca semua itu (draf), boleh bawa pegawai sendiri buat penjelasan kepada Jemaah Menteri.
“Bawa AG, Ketua Pengarah GIACC, semua boleh, jadi orang itu mesti boleh menjawab persoalan dibangkitkan oleh Jemaah Menteri. Yang penting Jemaah Menteri setuju, selepas itu serah kepada Parlimen untuk tengok apa pula kata ahli Parlimen,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang gagal dihubungi bagi mendapatkan perkembangan berhubung RUU berkaitan sumbangan politik berkenaan. – UTUSAN









