Defisit fiskal cecah 6.5 peratus jika gaji penjawat awam ditambah baik - PM

Defisit fiskal cecah 6.5 peratus jika gaji penjawat awam ditambah baik – PM

ANWAR Ibrahim menyampaikan ucaptama pada Forum Antarabangsa mengenai Islam dan Islamofobia: Ke Arah Bermakna Penglibatan Melalui Pendekatan Madani di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mungkin menanggung defisit fiskal sehingga 6.5 peratus jika kadar gaji penjawat awam dikaji atau ditambah baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau secara prinsipnya bersetuju jika gaji penjawat awam ditambah baik namun ia tidak sesuai dilakukan ketika ini.

Beliau berkata, kerajaan ketika ini terpaksa menanggung hutang RM1.5 trilion malah defisit fiskal negara pula pada kedudukan 5.6 peratus.

“Jika ia (gaji penjawat awam ditambah baik) dilakukan, maka tiada  orang akan datang melabur dalam negara kita dan mereka tidak yakin bahawa kita ada tekad politik untuk menguruskan negara dengan baik.

“Sabarlah sekejap. Daripada hasil yang banyak itu, saya sudah curahkan kepada semua peringkat masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Antarabangsa mengenai Islam dan Islamofobia: Ke Arah Bermakna Penglibatan Melalui Pendekatan Madani di sini, hari ini.

Anwar berkata, semua pihak perlu faham bahawa amat penting kerajaan menyelamatkan golongan miskin tegar yang hidupnya lebih teruk daripada semua pekerja-pekerja yang ada.

Katanya, beliau memahami bahawa politik mengundang pelbagai kefahaman namun tidak mudah untuk kerajaan menangani isu berkenaan.

“Pesawah padi, pekebun getah dan nelayan adalah semua orang yang susah dan bagi saya, kita sekurang-kurangnya hidup susah namun, bagi mereka nak hidup pun susah,” katanya.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan Belanjawan 2023 yang dibentang Jumaat lalu tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup yang dihadapi oleh penjawat awam ketika ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat dilaporkan berkata, tiada sebarang komitmen diberikan kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah.

Menurutnya, faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak pada ketika ini kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang naik dengan begitu mendadak terutama membabitkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan.

Malah, katanya, lebihan pendapatan boleh guna hingga RM1,300 melalui pengurangan cukai tidak menggambarkan situasi sebenar rakyat.

Justeru CUEPACS berharap, kerajaan terbuka untuk memperhalusi semula permintaan penjawat awam selama ini terutama dalam membabitkan kos sara hidup. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.