Cukai bantu industri vape dikawal selia

Cukai bantu industri vape dikawal selia

KERAJAAN digesa mengadakan perbincangan sbeelum memeuktamadkan cukai vape. - GAMBAR HIASAN/SADDAM YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape akan membolehkan aspek kawal sedia industri itu dilakukan secara teratur.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA), Datuk Adzwan Ab. Manas berkata, sejak 2015 pihaknya sentiasa berusaha mewujudkan kawal selia bersepadu ke atas industri berkenaan.

Justeru katanya, melalui pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023 yang menyentuh aspek percukaian ke atas industri vape, perkara itu membolehkan kawal selia dibuat secara teratur.

“Kita memang sejak 2015 memperjuang agar industri rokok elektronik dan vape dikawal selia secara tuntas. Caranya tidak lain tidak bukan hanya melalui percukaian. Maksudnya, dicukaikan vape ini.

“Langkah ini memberi manfaat kepada industri kerana membolehkan industri ini dikawal selia daripada anasir luar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Adzwan berkata, ketiadaan kawal selia mengakibatkan mereka sering dipersalah atas segala masalah yang melanda industri itu sedangkan pemain industri sentiasa berusaha memantau supaya penjualan vape mengikut proses yang betul.

“Selama ini kami sering dipersalahkan apabila berlaku penjualan vape bawah umur, atau barangan vape terbaharu yang tular sekarang ini yang menyerupai permainan kanak-kanak.

“Ini akibat pihak yang tidak bertanggungjawab dan bukan daripada industri kami sendiri. Industri kami sendiri telah mengawal selia sebenarnya secara mandiri.

“Misalnya jika kedai-kedai vape pun, kita tengok kad pengenalan pembeli untuk memastikan cukup umur. Kalau tidak cukup umur, kita tidak bagi masuk. Yang banyak berlaku masalah adalah penjualan online, yang tiada premis. Mereka tiada tanggungjawab,” katanya.

Ketika membentangkan semula Belanjawan 2023 kelmarin, Anwar dberkata, kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

“Walaupun vape bernikotin masih tidak sah di sisi undang-undang, hakikatnya telah dijual secara berleluasa dan dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion. Alangkah baik sekiranya ia dikawal selia dan dikenakan cukai supaya tidak menggalakkan penggunaan vape,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan Penawar Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Datuk Jamelah A. Bakar berkata, kerajaan juga perlu ada kawalan ketat j ke atas pengiklanan dan promosi produk-produk tersebut.

“Tindakan mengenakan duti eksais ke atas produk atau cecair bagi rokok elektronik dan vape disambut baik. Namun percukaian semata-mata tanpa kawalan ketat terutama terhadap pengiklanan dan promosi produk merokok akan menyebabkan produk-produk rokok yang berbahaya ini akan terus berleluasa tanpa kawalan,” katanya.

Menurut Jamelah, pengenalan duti eksais ini sebagaimana duti eksais terhadap produk tembakau, membolehkan harga jualan runcit dinaikkan selaras dengan pengenaan duti eksais untuk memastikan harga di pasaran meningkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×