Buruh resah hilang punca pendapatan - Utusan Malaysia

Buruh resah hilang punca pendapatan

MAT Zaib Mat Min menunjukkan keadaan kakinya yang bengkak dan terpaksa duduk di atas kerusi sepanjang masa di rumahnya di Kampung Pangkal Changgong, Machang, Kelantan. – UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Seorang buruh resah memikirkan nasibnya sebagai ketua keluarga apabila sudah tidak mampu mengerah keringat mencari rezeki selepas terjatuh dari ketinggian 5.4 meter semasa mengambil upah mengecat sekolah pada 7 Ogos tahun lalu.

Akibat kejadian itu, Mat Zaib Mat Min, 40, dari Kampung Pangkal Changgong di sini meng­alami patah tulang belakang dan patah kedua-dua belah kaki seterusnya ditahan selama sebulan di Hospital Kuala Krai, dekat sini untuk menjalani rawatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mat Zaib berkata, kesan daripada kemalangan, dia tidak mampu untuk berdiri mahupun berjalan seperti biasa kerana mengalami kaki bengkak.

Menurutnya, walaupun rawa­tan memasukkan besi sudah dilakukan bagi menyokong tulang belakang serta kedua-dua belah kakinya, namun keada­annya tidak seperti dulu.

“Pergerakan saya agak terbatas kerana kaki saya akan cepat bengkak dan sakit sekiranya saya berjalan atau berdiri terlalu lama.

“Malah saya juga tidak boleh duduk seperti biasa dan terpaksa duduk di atas kerusi ataupun terbaring sepanjang masa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Mat Zaib memberitahu, dia kini masih menjalani rawatan susulan akibat kecederaannya itu di Hospital Kuala Krai setiap bulan bagi memastikan keadaan tulang belakang serta kakinya sentiasa baik.

Katanya, keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan untuk dia kembali bekerja seperti sebelum ini dan sekali gus menyebabkannya kehilangan punca pendapatan.

“Keadaan ini amat memberi kesan kepada kami sekeluarga, namun saya reda dan menjalani kehidupan dengan apa adanya.

“Jauh di sudut hati saya amat berharap agar kesihatan saya kembali pulih seperti biasa supaya saya dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai anak sulung untuk menjaga dan me­nyara kedua ibu bapa serta keluarga,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan di akaun BSN 0301341100051623 atas nama Mat Zaib atau boleh menghubungi adiknya di talian 017-9250598 (Syikin). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN