IPOH: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 30 Mac depan sebagai tarikh keputusan kes seorang lelaki warga emas yang didakwa membunuh jirannya berusia 77 tahun, tiga tahun lalu.
Tarikh berkenaan ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed pada prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Shaharudin Zakaria, 68, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Zaharah Khalid di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang Laut, Seri Manjung, Manjung sekitar pukul 8 malam pada 3 Mei 2020.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi manakala tertuduh diwakili peguam, M. Saravanan.
Mohamad Shaharudin pertama kali dituduh di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada 12 Mei 2020.
Media pada 4 Mei 2020 melaporkan seorang wanita warga emas ditemukan mati dengan separuh badan tenggelam dalam parit kira-kira 400 meter daripada rumah suspek.
Penemuan mayat wanita itu membawa kepada tangkapan seorang lelaki yang juga penduduk di kampung sama.
Siasatan awal polis mendapati sebelum kejadian itu berlaku, terjadi pertengkaran antara kedua-dua mereka menyebabkan mangsa dipukul dan dipijak sebelum dicampak ke dalam parit. – UTUSAN