Bukan nak jadi hero tangkap beruang

Bukan nak jadi hero tangkap beruang

FATIN Nur Atirah Azizan melihat tangan suaminya, Mohamad Nizam Hamid yang cedera digigit beruang matahari semasa ditemui di HSAH, Sungai Petani. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Anggota bomba bantuan yang parah digigit beruang matahari Khamis lalu menganggap insiden terbabit berlaku secara tiba-tiba dan bukannya mahu jadi hero.

Mohamad Nizam Hamid, 27, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, dia juga bukan mengepung beruang itu untuk ditangkap, sebaliknya mencari haiwan itu yang hilang daripada penglihatan selepas terancam apabila dikejar penduduk kampung sebelum itu.

“Saya, anggota bomba lain dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) sedia maklum bahawa tugas menangkap haiwan buas hanya boleh dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Jadi kami hanya mencari haiwan itu yang bersembunyi dalam sawah bagi memantau pergerakannya agar memudahkan pihak Perhilitan yang ketika itu dalam perjalanan untuk menangkapnya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), semalam.

Kata Mohamad Nizam, ketika melewati bahagian tengah sawah di Kampung Kabu 10, Selengkoh Tengah dekat Sungai Limau itu, dia terserempak beruang berkenaan yang sedang bersembunyi di celah-celah pokok padi.

“Jarak saya dengan beruang itu kira-kira satu meter sahaja dan disebabkan terkejut serta panik, saya jatuh terlentang. Mungkin terancam apabila melihat saya jatuh, beruang itu menerkam dan cuba menggigit muka tetapi saya guna tangan tutup muka menyebabkan tangan kiri saya pula digigit,” katanya.

Menurut Mohamad Nizam, akibat gigitan itu jam tangan yang dipakainya putus, manakala sarung tangan dan baju perlindungan khas turut terkoyak dan dipenuhi darah.

“Kejadian digigit beruang itu terlalu pantas dan ketika itu saya hampir pitam kerana kehilangan banyak darah sebelum beberapa orang rakan datang membantu menghalau beruang itu.

“Nasib baik haiwan itu hanya menggigit sahaja dan tidak menggunakan kukunya untuk mencakar saya, jika tidak mungkin kecederaan saya lebih parah,” katanya.

Mohamad Nizam yang sudah berkahwin dengan Fatin Nur Atirah Azizan, 22, sejak tiga tahun lalu memiliki seorang cahaya mata berusia sembilan bulan, Mohamad Ziad Rezqi dan baru setahun bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan.

Sementara itu, Fatin Nur Atirah berkata, dia hanya dimaklumkan insiden menimpa suaminya oleh jiran mereka semasa berada di rumah di Kampung Batu 11, Bukit Besar, Kota Sarang Semut.

“Saya dan keluarga bergegas ke Hospital Yan selepas melihat video suami diusung kerana cedera digigit yang tular pada hari sama. Namun saya bersyukur kerana suami tidak mengalami kecederaan lebih serius dan harap dia akan segera sembuh untuk meneruskan tugas sebagai anggota bomba yang diminatinya itu,” katanya.

Jumaat lalu, akhbar melaporkan seorang anggota bomba cedera parah digigit beruang matahari yang sesat dan bertindak agresif semasa dikepung untuk menghalangnya daripada melarikan diri sebelum berjaya ditangkap setelah ditembak ubat pelali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya