Bubar DUN enam negeri minggu ketiga atau keempat Jun - Utusan Malaysia

Bubar DUN enam negeri minggu ketiga atau keempat Jun

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang masih belum mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka pada minggu ketiga atau keempat Jun tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Menteri Besar dan Ketua Menteri terlibat berpandangan tempoh itu merupakan waktu yang paling sesuai untuk membubarkan DUN.

“Pertemuan enam Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri terbabit diadakan petang ini bagi membincangkan cadangan tarikh yang sesuai dibuat pembubaran DUN masing-masing. Menteri Besar Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Ketua Menteri Pulau Pinang berpakat usahakan PRN serentak di enam negeri ini.

“Kesepakatan ini akan dibawa kepada persetujuan parti masing-masing sebelum disembah maklum untuk memohon limpah perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri,” katanya dalam status yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

Bersama status itu, Muhammad Sanusi turut memuat naik gambar memaparkan pertemuan tersebut yang diadakan Hotel St. Regis, Kuala Lumpur. Selain Sanusi, pertemuan turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Tambah Muhammad Sanusi, tindakan untuk membubarkan DUN pada tarikh dicadangkan itu bagaimanapun bergantung kepada perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri masing-masing.

“Tarikh PRN kelak akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi pernah memberi bayangan bahawa tarikh pembubaran DUN di enam negeri itu akan diadakan serentak. Dalam situasi di Kedah katanya, pembubaran DUN hanya sesuai diadakan selepas Hari Keputeraan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 18 Jun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN