Beri peluang Hishammuddin, Maulizan rayu - UMNO Johor

Beri peluang Hishammuddin, Maulizan rayu – UMNO Johor

MOHAMED Khaled Nordin (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Ibu Pejabat UMNO di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UMNO Johor merayu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) supaya memberi peluang kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Maulizan Bujang untuk membuat rayuan, seterusnya kembali ke pangkuan parti.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu juga terpakai kepada ahli dan pimpinan parti dari negeri ini yang digantung selama enam tahun.

Menurutnya, UMNO Johor akur dengan keputusan MKT menggantung keahlian mereka berkenaan, namun percaya harus diberi peluang untuk membuat rayuan.

“UMNO Johor menzahirkan rasa sedih dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi membabitkan dua pemimpin yang tidak dinafikan banyak berjasa kepada UMNO Johor.

“Maka, UMNO Johor bersetuju supaya kedua-dua pemimpin ini wajar diberikan peluang merayu atas tindakan yang dikenakan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.

Pada 27 Januari lalu, MKT menggantung keahlian Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO dan Maulizan yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau selama enam tahun, selain memecat lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang.

Dua pemimpin yang turut dipecat ialah bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang memberitahu, tindakan disiplin dan penggantungan yang dikenakan MKT itu tidak akan menjejaskan pergerakan UMNO Johor memandangkan beberapa pemimpin UMNO negeri sebelum ini pernah dikenakan tindakan yang sama.

“Ini bukan kali pertama pimpinan UMNO Johor digantung atau dikenakan tindakan disiplin. Kita telah pun laluinya sebelum ini, namun UMNO terus melaksanakan tanggungjawab dan tidak berdepan kekangan sehingga menyebabkan parti tidak dapat bergerak.

“Mereka yang dikenakan tindakan itu sebahagian besarnya kembali semula kepada UMNO, antaranya Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Muszaidi Makmor yang kini merupakan Ketua Bahagian Kota Tinggi.

“Kita percaya jika ada usaha dibuat, pastinya penggantungan dapat dipendekkan sebagaimana yang berlaku kepada Datuk Lokman Noor Adam. Tidak boleh putus asa, kerana ia bukan penamat karier politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya