PETALING JAYA: Sekalipun diramal mampu membawa pulang trofi Persembahan Terbaik, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37, Iman Troye tidak pernah meletak harapan tinggi, apatah lagi bersedih apabila gagal merangkul kemenangan.
Jelas penyanyi muda itu, dia lebih gembira apabila fokus utamanya untuk mengetengahkan maksud di sebalik lagu Nang dan melodi berunsurkan tradisional kontemporari tercapai apabila persembahan itu tular di media sosial.
“Perasaan saya? Sangat berpuas hati. Ia kali pertama saya ke AJL dan tanggungjawab sebagai peserta pertama memang cukup berat. Alhamdulillah, saya sudah lakukan yang terbaik.
“Memang ada yang cakap, Nang patut menang Persembahan Terbaik. Tetapi, itu bukan fokus utama. Saya mahu orang faham apa maksud tersirat di sebalik lagu tersebut.
“Nak kata saya bersedih, tidak. Saya tidak meletakkan sebarang harapan dan hanya mahu beri yang terbaik. Persembahan Shiha Zikir memang layak menang,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Iman juga mendedahkan, dia melabur hampir RM80,000 bagi memastikan persembahan tersebut mencapai objektif.
“Saya memang all out untuk Nang. Saya selalu fikir, bila lagi dapat ke AJL. Entah ada peluang lagi atau tidak, jadi saya kena bagi sepenuhnya. Risau juga jika persembahan saya dikecam.
“Alhamdulillah, rata-rata memberikan komen positif. Malah, ada yang cakap saya membawa kembali era Kak Noraniza Idris dan Datuk Seri Siti Nurhaliza di pentas AJL37. Bawa penari sekampung kata orang!
“Saya juga menghargai keringat pasukan, baik dari segi persiapan, props dan imej. Semua orang berhempas-pulas, malah ada yang tidak tidur. Memang terharu sangat dengan pengorbanan mereka,” katanya.