Belanjawan 2023 seimbang - Utusan Malaysia

Belanjawan 2023 seimbang

AHMAD Zahid Hamidi bercakap pada sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Bangunan Parlimen. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 dilihat seimbang antara usaha memakmurkan negara dan kemampuan dengan berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hal ini kerana jurang pengurangan pendapatan negara dan perbelanjaan berjaya diturunkan kepada lima peratus berbanding 5.6 peratus sebelum ini.

Namun beliau menambah, pengumuman Perdana Menteri itu dilihat menyeluruh kerana sejajar tindak balas kerajaan untuk menghadapi situasi ketidaktentuan ekonomi dan menambah baik tatakelola kerajaan.

Beliau berkata, secara keseluruhan ia turut memperlihatkan keprihatinan Kerajaan Perpaduan walaupun Pilihan Raya Umum (PRU) sudah berlalu.

“Biarpun pilihan raya sudah berlalu namun kumpulan sasaran masih dapat, bukan hanya diberikan ruang sama rata tetapi menunjukkan keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap rakyat daripada pelbagai kelompok ekonomi,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 membabitkan peruntukan RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion ringgit untuk belanja mengurus, RM99 bilion ringgit bagi belanja pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, Belanjawan 2023 turut membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap 8.1 juta penduduk desa dengan penambahan peruntukan sebanyak RM500 juta berbanding tahun lalu, selain peningkatan harga siling getah dan bantuan musim tengkujuh (BMT).

Malah katanya, pembentangan Belanjawan Madani mendasari pemacuan ekonomi di samping menambah baik kemakmuran negara.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana meneruskan projek-projek yang tertangguh terutamanya projek Lebuh Raya Pan Borneo.

FADILLAH Yusof pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

“Saya berbesar hati Perdana Menteri ingin meneruskan projek ini dan turut memberikan peruntukan khusus sebanyak RM6.5 bilion untuk Sabah dan RM5.6 bilion bagi Sarawak. 

“Saya telah diarahkan secara spesifik untuk melihat projek lebuh raya berkenaan dan memastikan ianya dapat disiapkan dalam kadar yang segera. 

“Disamping projek lebuh raya berkenaan, laluan di sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan juga akan dinaik taraf ekoran Kalimantan akan menjadi ibu negara Indonesia yang baru,” katanya.

Tambah Fadilah, Geran Khas Sarawak di bawah Perkara 11D Perlembagaan Persekutuan juga telah dinaikkan peruntukannya kepada RM300 juta tiap-tiap tahun. 

Jelasnya, semua projek di bawah RM50 juta juga akan dipercepatkan dan telah dipersetujui lleh Jabatan Teknikal Sabah dan Sarawak. 

“Saya lihat bajet kali ini memperuntukkan jumlah yang besar dan tidak akan berjaya melainkan meningkatkan pelaksanaan. 

“Hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan supaya dapat merangkakan dan mencari jalan penyelesaian untuk tingkatkan kemakmuran negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN