JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) tidak akan terus menolak permohonan sesiapa sahaja untuk menyertai parti itu pada masa depan, termasuk bekas ahli UMNO yang dikenakan tindakan buang parti.
Sebaliknya, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan mengadakan rundingan dengan kepemimpinan UMNO tentang perkara itu demi memastikan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan terus kukuh.
“UMNO sekarang sudah kerjasama dengan PH untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan. Jadi, sekiranya ada permohonan daripada individu yang ‘dibuang’ parti itu untuk masuk Amanah, kita kena adakan rundingan.
“Sekiranya dirasakan perlu, satu libat urus perlu diadakan membabitkan kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti, sebelum ‘bertunang’ mesti berbincang dahulu,” katanya secara berseloroh.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Pakatan Harapan (PH) Johor di Taman Bukit Indah, di sini malam tadi yang turut dihadiri Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.
Sementara itu, Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turut memberitahu, Kerajaan Perpaduan diketuai PH itu mampu bertahan lama sekiranya dapat melepasi ujian pertama pentadbiran.
“Sekiranya Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu bertahan sehingga tamat penggal pentadbiran ini, bermakna bukan hanya satu penggal tetapi dua, tiga atau empat penggal PH boleh menjadi kerajaan.
“Untuk merealisasikan perkara itu, kita perlu bekerjasama dan memastikan soal kebajikan rakyat diselesaikan dengan sebaik mungkin dalam penggal pertama pentadbir kerajaan ini,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 pengunjung yang hadir.
Pada majlis tersebut, sebanyak 400 borang keahlian untuk menyertai Amanah kawasan Parlimen Pulai diserahkan kepada beliau. – UTUSAN










