Bas pengantara percuma ke Parlimen dilancar, galak guna pengangkutan awam 

Bas pengantara percuma ke Parlimen dilancar, galak guna pengangkutan awam 

ANTHONY Loke Siew Fook menaiki bas RapidKL ke Bangunan Parlimen dari KL Sentral.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hari ini melancarkan perkhidmatan bas pengantara percuma antara stesen Kuala Lumpur Sentral ke Parlimen yang beroperasi sepanjang persidangan Dewan Rakyat. 

Perkhidmatan bas pengantara percuma itu dikendalikan Prasana dengan menyediakan dua bas khusus untuk ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai dan petugas ke Parlimen. 

Ia antara inisiatif baharu dilaksanakan Kementerian Pengangkutan tahun ini yang diyakini membantu mempromosi penggunaan pengangkutan awam.

Beliau berkata, jumlah kenderaan ke Parlimen setiap kali persidangan Dewan Rakyat merekodkan lebih kurang 2,000 buah namun hanya mempunyai 500 kapasiti tempat letak kereta. 

“Ini bermakna, tiga daripada empat kenderaan sukar untuk mendapatkan tempat letak kereta kecuali tiba awal ke Parlimen. Jadi, ini memberi kesan kepada warga Parlimen terpaksa beratur panjang setiap pagi untuk mengambil pas dan mendapatkan tempat letak kereta hampir satu jam untuk masuk sahaja. 

“Kerajaan mahu memudah dan menyediakan kualiti hidup yang lebih baik. Kita juga faham sehari sebelumnya pegawai-pegawai dan petugas media bekerja sehingga lewat malam dan datang ke Parlimen seawal pagi, jadi sudah tentu ini akan menjejaskan kualiti hidup masing-masing. 

“Oleh itu, saya berharap perkhidmatan bas percuma ini mendapat sambutan baik dan kerajaan akan melihat bagaimana mahu melaksanakan perkhidmatan seperti ini supaya lebih bersasar,” katanya semasa pelancaran bas pengantara percuma itu di Bangunan Parlimen hari ini. 

Bas pengantara itu yang bermula hari ini hingga 6 April 2023 akan berhenti di tiga stesen bermula dari KL Sentral, Taman Botani dan Parlimen sebagai destinasi terakhir. Ia beroperasi bermula pukul 7 pagi hingga 8 malam setiap Isnin hingga Jumaat.

Dalam pada itu, Siew Fook berkata, perkhidmatan bas pengantara itu lebih bertujuan memberi mesej kepada awam bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. 

Ini ketika terdapat segelintir pihak mendakwa ahli-ahli Parlimen sudah menerima elaun pengangkutan sekali gus tidak mewajarkan mereka menggunakan bas pengantara berkenaan. 

“Saya tahu ada komen-komen mengatakan ahli Parlimen sudah ada elaun mahu beri percuma lagi. Tetapi, ia lebih kepada memberi signal dan mesej kepada semua pihak untuk kita galakkan penggunaan pengangkutan awam. 

“Apabila ramai guna pengangkutan awam, apabila ahli Parlimen sendiri menggunakannya, maka lebih ramai yang akan bercakap mengenai pengangkutan awam, menyatakan pandangan, kritikan, perbahasan dan pengalaman di Dewan Rakyat supaya pengangkutan awam negara bertambah baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.