Bajet 2023: Perak mohon RM3 bilion untuk projek kepentingan rakyat - Utusan Malaysia

Bajet 2023: Perak mohon RM3 bilion untuk projek kepentingan rakyat

SAARANI Mohamad (tengah) bersama GLC yang memberi sumbangan pada Pelancaran Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri telah memohon peruntukan sebanyak RM3 bilion bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan kepentingan rakyat untuk dimasukkan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, antara projek tersebut melibatkan baik pulih Jalan Raya Timur Barat, tambahan katil di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dan beberapa projek lain.

Menurutnya, beliau mengambil inisiatif mengetuai delegasi dari Perak bertemu dengan Perdana Menteri dan mengemukakan senarai permohonan daripada kerajaan Perak lebih dari RM3 bilion.

“Kita faham Kementerian Kewangan sedang dalam proses untuk memperhalusi cadangan-cadangan bajet, jadi kita masuk permohonan dengan hashtag kalau tak boleh bagi semua, jangan tolak semua permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Pejabat Menteri Besar Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Menurutnya, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan akan berada di sini esok untuk mengadakan dialog sempena Bajet 2023 yang akan dihadiri semua exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mendengar taklimat dan memberikan maklum balas menerusi dialog tersebut.

“Apa pun pandangan esok, ia boleh dimasukkan dalam Buku Bajet, jika tidak boleh pada muka surat pertama, muka surat akhir pun tak apa, asalkan bagi,” katanya.

Mengenai program hari ini, Saarani berkata, pelancarannya merupakan salah satu program di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.

Menurutnya, peruntukan itu merupakan peningkatan sebanyak RM1.4 juta berbanding hanya RM600,000 pada tahun lalu, meliputi peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk program Bantuan Sara Diri Mahasiswa dan RM0.5 juta bagi Bantuan kecemasan Mahasiswa.

“Bantuan Sara Diri Mahasiswa terbahagi kepada dua fasa iaitu yang pertama akan bermula pada hari ini sehingga 10 Mac 2023 manakala fasa kedua pula pada Ogos atau September ini.

“Bantuan itu melibatkan pemberian antara RM500 hingga RM2,000 kepada mahasiswa sepenuh masa semester kedua dan ke atas bagi peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di mana-mana Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Bantuan Kecemasan Mahasiswa pula merupakan inisiatif bagi membantu mahasiswa yang ditimpa musibah atau bencana dengan bantuan tidak melebihi RM5,000, bergantung kepada kes-kes kecemasan yang tertakluk kepada terma dan syarat.

“Semua mahasiswa anak-anak Perak yang berkelayakan boleh memohon dan mengisi borang di pautan, www.eheyns.com.my/bantuan-khas-mahasiswa,” katanya.

Saarani berkata, kerajaan negeri akan meneruskan program Bantuan Makanan Pelajar, satu lagi program di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani dengan peruntukan sebanyak RM2.8 juta yang bakal memanfaatkan 28,281 pelajar dari 256 buah sekolah seluruh negeri Perak.

“Program murni ini dibiayai sepenuhnya lima syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Perak iaitu Lembaga Air Perak (LAP) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) yang masing-masing menyumbang RM1 juta, Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) (RM700,000), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) (RM500,000) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) (RM200,000),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN