KUALA LUMPUR: Calon Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan mempertaruhkan strategi 4S (simetri, struktur, sinergi dan stabil) sepanjang kempen bagi merebut jawatan tersebut dalam pemilihan parti kali ini.
Menurut Nurul Hazwani yang mesra disapa Awin, strategi solusi tersebut dapat mengembalikan semula keyakinan orang muda terhadap UMNO selepas berdepan cabaran kekalahan dalam dua pilihan raya sebelum ini.
“Kami mahu Puteri dipacu ke arah atau direka cipta mengikut acuan yang kami tetapkan.
“Berdasarkan apa yang berlaku hari ini, kita tahu politik itu berubah pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), maka kami datang untuk memberi solusi terutama berkaitan penolakkan orang muda terhadap UMNO.
“Kita kena lihat, siasat kenapa. Bila ambil keputusan, kami membawa solusi 4S,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan borang bagi Pemilihan UMNO 2023-2026.
Nurul Hazwani yang juga Setiausaha Puteri UMNO membuat kelainan apabila hadir secara pakej bersama calon Naib Puteri UMNO, Puteri Farhana Megat Ahmad Shahrani.
“Kita akan bergerak sebagai satu pasukan demi kestabilan dan pastinya memiliki chemistry jika diberi mandat.
“Ketika ini kami akan terus berkempen serta memastikan kempen ini berjalan lancar selain berharap perwakilan mengambil pertimbangan dan memilih kami untuk menerajui sayap ini pada penggal seterusnya,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, ketika ditanya adakah beliau akan lebih lantang bersuara jika berjaya merebut jawatan tersebut, Hazwani berhasrat akan bersuara secara kebersamaan agar lebih lantang dan solid.
“Bukan bermakna kita mengentam kepemimpinan atasan tetapi anak muda harus berani bersuara berhubung apa yang perlu dan terbaik untuk parti tetapi tetap menghormati kepemimpinan parti,” jelasnya.
Hazwani sebelum ini menawarkan diri bertanding jawatan tersebut selepas penyandangnya, Datuk Zahida Zarik Khan telah tamat tempoh selepas berkhidmat sejak 2018 dalam sayap itu.
Sehingga kini, Utusan Malaysia difahamkan hanya empat borang percalonan Ketua Puteri dihantar iaitu oleh Hazwani; Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin; Exco Puteri, Fadhwa Anuar dan Exco Puteri, Dr. Masliha Harun. – UTUSAN










