Aspek kerohanian antara persiapan calon SPM SMK Sultanah Bahiyah - Utusan Malaysia

Aspek kerohanian antara persiapan calon SPM SMK Sultanah Bahiyah

Kerajaan diminta mengenalpasti punca lebih 14,000 pelajar tidak menduduki peperiksaan SPM 2022. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tidak hanya persiapan fizikal dan mental, pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah, di sini turut dipersiapkan dari sudut kerohanian bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengetuanya, Noor Ashikin Yusoff berkata, antara persediaan dilakukan adalah dengan menganjurkan majlis bacaan Yasin bagi pelajar beragama Islam setiap pagi sebelum bermula sesi persekolahan, menjelang kedatangan SPM sebelum ini.

Katanya, aktiviti sedemikian bukanlah sesuatu yang asing buat pelajar sekolah tersebut kerana mereka sememangnya biasa membaca al-Quran setiap hari.

“Ini memang budaya sekolah kami dan membaca al-Quran setiap pagi sudah menjadi rutin dalam kehidupan pelajar. Setiap pagi, pelajar akan mula membaca al-Quran bermula 7.15 pagi untuk kira-kira 20 ayat sebelum sesi pembelajaran dimulakan.

“Apabila peperiksaan SPM kian hampir, kami ubah pendekatan itu kepada membaca surah Yasin pula hingga ke hari peperiksaan. Pagi ini pun, pelajar terlebih dulu membaca surah Yasin secara beramai-ramai bersama guru di kelas masing-masing, sebelum bergerak ke dewan peperiksaan,” katanya ketika ditemui di sekolah tersebut, hari ini.

Tambah Noor Ashikin, selain itu pihak sekolah turut mengadakan satu majlis untuk warga sekolah sama-sama menunaikan solat sunat termasuk dhuha dan hajat menjelang ketibaan SPM.

“Pada majlis itu, warga sekolah turut sama-sama saling memohon kemaafan antara satu sama lain. Di kesempatan itu pelajar turut saling bermaafan bersama guru-guru yang mengajar mereka,” katanya.

Sementara itu, salah seorang calon SPM sekolah tersebut, Nur Aisyah Adriana Mahamad Ji, 18, mengakui cukup berdebar untuk mengambil peperiksaan tersebut.

“Namun saya dan rakan-rakan bertawakal kepada Allah setelah berusaha belajar. Kami turut mengharapkan doa semua agar masing-masing dapat menjawab dengan hati terbuka dan tenang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya