‘Arwah yakin berjaya temu duga kerja’ - Utusan Malaysia

‘Arwah yakin berjaya temu duga kerja’

JENAZAH Mohammad Azim Mohamad Sanusi dibawa ke Kampung Beringin, Durian Tunggal, Melaka untuk dikebumikan. – MINGGUAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Alhamdulillah, selesai.” Itu kandungan mesej terakhir Mohammad Azim Mohamad Sanusi, 30, yang dikongsi dalam kumpulan WhatsApp keluarganya, pagi kelmarin.

Kandungan mesej itu dikirim arwah sejurus selesai mengha­diri temu duga kerja sebagai Pegawai Belia dan Sukan, di sini.

Arwah yang juga pembantu tadbir di Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) maut selepas dihempap keretanya sendiri ketika sedang menukar minyak hitam ken­deraan itu di kuarters penjawat awam di Presint 5, pagi kejadian.

Bapa arwah, Sanusi Sujak, 69, berkata, sebelum kejadian, arwah mengirim mesej menerusi WhatsApp dan memaklumkan sudah selesai mengha­diri sesi temu duga itu berserta sekeping gambar.

TANGKAP layar kandungan WhatsApp arwah Mohammad Azim selepas menghadiri sesi temu duga.

Menurutnya, arwah nampak gembira malah turut berkongsi keyakinan sepanjang sesi ber­kenaan.

“Arwah pernah menghadiri beberapa sesi temu duga sebelum ini, namun kali ini dia berasa sangat yakin dan berharap untuk terpilih.

“Saya sangat rapat dengannya kerana arwah anak lelaki bongsu dalam enam beradik,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Jabatan Forensik, Hospital Putrajaya semalam.

Katanya, jenazah dibawa pulang ke kampung halaman dan disolatkan di Masjid Kampung Beringin, Durian Tunggal, Melaka sebelum dikebumikan selepas solat zuhur.

Arwah meninggalkan seorang isteri, Nor Azilah Amti dan seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan.

Dalam kejadian pukul 11.48 pagi kelmarin, Mohammad Azim maut akibat dihempap keretanya sendiri di sebuah kuarters penjawat awam di Presint 5, di sini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah ditemukan di lokasi kejadian.

Difahamkan, insiden berlaku apabila mangsa dikatakan sedang menukar minyak hitam dan brek tayar hadapan kereta sebelum dihempap kereta berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya