Anggota bomba putus urat tangan digigit beruang

Anggota bomba putus urat tangan digigit beruang

KECEDERAAN dialami anggota bomba bantuan yang digigit beruang matahari (gambar kanan) dalam kejadian di Kampung Kabu 10, Selengkoh Tengah di Sungai Limau, Yan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Seorang anggota bomba bantuan cedera digigit seekor beruang matahari yang sesat ketika cuba menyelamatkan haiwan itu di kawasan sawah Kampung Kabu 10, Selengkoh Tengah di Sungai Limau, hari ini.

Mangsa, Mohamad Nizam Hamid, 27, cedera parah apabila urat pergelangan tangan kirinya putus digigit haiwan itu ketika usaha menangkap dijalankan bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung kira-kira pukul 10 pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Norhamidi Ali berkata, mangsa sedang mengepung beruang itu untuk menghalang ia daripada melarikan diri sementara menunggu ketibaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Beruang itu didapati cuba melarikan diri di dalam sawah selepas dikejar orang ramai yang melihatnya berkeliaran di sebuah rumah penduduk sebelum itu.

“Sementara menunggu ketibaan Perhilitan, mangsa beserta penduduk kampung dan agensi terlibat mengepung haiwan itu untuk menghalangnya daripada melarikan diri,” katanya di sini, hari ini.

Kata Norhamidi, beruang itu mula menjadi agresif menyebabkan ia cuba menyerang anggota agensi penguatkuasa dan penduduk kampung.

“Kebetulan mangsa berada berdekatan beruang itu dan cuba melarikan diri namun tidak bernasib baik apabila tergelincir di sawah yang berair. Mangsa diterkam beruang terbabit sebelum bahagian tangan kirinya digigit menyebabkan dia alami kecederaan parah,” katanya.

Katanya, mangsa kemudian dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Yan menggunakan ambulan APM dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, beruang terbabit berjaya diselamatkan pada pukul 1.21 petang ini dan diserahkan kepada Perhilitan untuk proses seterusnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.