PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melihat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai liabiliti, sebaliknya Presiden UMNO itu merupakan aset kepada kerajaan perpaduan sama ada keputusan mahkamah akan mensabitkannya dengan hukuman atau sebaliknya.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, ini kerana tanpa sokongan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), kerajaan perpaduan pimpinan Anwar akan tumbang pada bila-bila masa.
“Jika UMNO-BN tarik sokongan, maka parti-parti di Sabah dan Sarawak yang memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan akan ikut sama.
“Justeru, Ahmad Zahid harus diadili secara bebas tanpa ada campur tangan mana-mana pihak agar kepercayaan terhadap integriti sistem kehakiman terpelihara,” katanya di sini semalam.
Rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Ahmad Zahid berhubung kes rasuah membabitkan Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan pusat sehenti ditetapkan untuk pengurusan kes pada 17 Februari ini.
September tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri itu dilepas dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah yang dihadapinya berhubung VLN.
Pada masa ini, Ahmad Zahid dalam peringkat membela diri terhadap dakwaan kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) berjumlah RM17.9 juta.
Ini termasuk perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram Ahmad Zahid membabitkan dana YAB yang dijadualkan semula selama 27 hari bermula 10 April ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.
Dalam pada itu, Kartini berkata, Anwar perlu membuktikan perjuangan beliau menentang rasuah dan nepostisme atau kronisme dalam pentadbirannya bukan hanya omong kosong.
Jika tidak katanya, pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri akan memberi pukulan hebat kepada Anwar dan pentadbiran beliau. – UTUSAN










