Agihan bantuan wang tunai kepada mangsa banjir ditunda - Utusan Malaysia

Agihan bantuan wang tunai kepada mangsa banjir ditunda

LEBIH 41,000 mangsa banjir dipindahkan ke PPS di lapan daerah di Terengganu dalam bencana banjir  terburuk pada Disember lalu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Bantuan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR)  terjejas banjir di Terengganu yang sepatutnya dijadual diagihkan pada bulan ini terpaksa ditunda pada Mac depan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kelewatan agihan bantuan tersebut disebabkan berlaku masalah tuntutan bertindih dalam kalangan mangsa.

Menurutnya, kerajaan negeri menerima sebanyak 29,000 permohonan untuk mendapatkan bantuan tersebut, namun hasil saringan yang dijalankan hanya 26,000 KIR sahaja layak menerima bantuan tersebut.

“Ini berlaku kerana ada suami yang mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) berbeza daripada isteri dan kedua-dua mereka membuat tuntutan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlainan.

“Ada juga yang tidak menjadi mangsa banjir, namun mendakwa turut terjejas dengan bencana itu dan membuat tuntutan.

“Jadi, ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terpaksa membuat saringan terperinci untuk memastikan tiada tuntutan bertindih dan tuntutan palsu berlaku,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, pihaknya akan cuba mengagihkan bantuan tersebut pada awal Mac depan bagi meringankan beban kewangan mangsa secara berperingkat mengikut kawasan DUN masing-masing.

“Setakat ini, senarai akhir mangsa telah dikemas kini dan kita masih menunggu senarai muktamad dari dua daerah sahaja lagi sebelum agihan bantuan dapat dimulakan,” katanya.

Selain bantuan daripada kerajaan negeri, setiap KIR yang terlibat juga akan mendapat sumbangan banjir daripada kerajaan pusat yang disalurkan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dengan jumlah sama iaitu RM1,000.

Pada 21 Disember 2022, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera banjir masing-masing sebanyak RM50 juta kepada Terengganu dan Kelantan yang terjejas teruk bagi meringankan beban mangsa.

Perdana Menteri mengumumkan bantuan RM1,000 bagi setiap KIR dan RM10,000 diberikan kepada setiap keluarga mangsa korban disebabkan banjir.

Tidak lama selepas itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang baru pulang  bercuti dari New Zealand turut mengumumkan bantuan untuk setiap KIR yang terlibat banjir iaitu RM1,000 manakala keluarga mangsa korban banjir menerima RM10,000.

Banjir yang berlaku di Terengganu pada akhir Disember lalu disifatkan antara yang terburuk dalam tempoh 40 tahun hingga menyebabkan lebih 41,000 mangsa berpindah ke PPS di lapan daerah di negeri itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya