70 peratus kes hijau datang ke kecemasan

70 peratus kes hijau datang ke kecemasan

DR. NOOR Hisham Abdullah (tiga dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Bryan Lin (kanan) melakukan gimik pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Persatuan Pakar Bius dan Pembedahan Global Malaysia di SJMC, Subang Jaya, Selangor, hari ini. Turut sama, Presiden Persatuan Pakar Bius Malaysia (MSA), Prof Dr Ina Ismiarti Shariffudin (tiga dari kiri). - FOTO/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Kira-kira 70 peratus pesakit kes zon hijau (lain-lain kes) yang datang ke Jabatan Kecemasan Hospital bagi mendapatkan rawatan menyebabkan berlakunya kesesakan yang sepatutnya dibanjiri dengan pesakit zon merah (kes kritikal).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkara ini boleh diselesaikan dengan pesakit yang tidak kritikal mendapatkan rawatan di klinik-klinik kesihatan yang dibuka kini sehingga 10  ke 11 malam.

“Kita buka klinik kesihatan sehingga malam supaya pesakit yang batuk-batuk tu jangan datang ke jabatan kecemasan tetapi pergi ke klinik sahaja, memandangkan kes kritikal sahaja perlu ke jabatan kecemasan. Itu mungkin cara terbaik sekali.

“Tetapi kita juga perlu optimakan perkhidmatan kita, bagaimana kita ada inovasi, gunakan kluster hospital untuk optimakan perkhidmatan kesihatan daripada jabatan kecemasan ke klinik dan sebagainya,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Global Surgery Initiative sempena Ulang Tahun ke-60 Malaysian Society of Anaesthesiologists (MSA).

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, jumlah kakita­ngan Kementerian Kesihatan (KKM) yang tidak berubah sejak 10 tahun lalu juga merupakan antara penyebab mengapa wujudnya isu pesakit terpaksa menunggu lama terutamanya di jabatan kecemasan hospital.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, untuk mengurangkan kesesakan di dalam hospital juga perlu lihat kepada jumlah peruntukan yang diberi.

“Sekarang ni peruntukan bagi kementerian hanya 2.1 peratus sahaja, semua orang tahu di United Kingdom lebih 10 peratus dan di Amerika Syarikat 19 hingga 20 peratus. Kalau boleh tambah banyak perkara kita laksanakan.

“Tetapi ini semua bukan dalam kuasa KKM, ini bergantung kepada Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan sebagainya. Kita memerlukan pendekatan untuk melihat keseluruhan perkhidmatan kesihatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN