7 langkah segera dilaksana kurangkan beban guru

7 langkah segera dilaksana kurangkan beban guru

TUJUH langkah segera diputuskan KPM bagi mengurangkan beban tugas guru di sekolah berkuat kuasa sesi persekolahan baharu 2023/2024. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk memansuhkan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di sekolah yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid.

Perkara itu adalah antara tujuh langkah segera diputuskan KPM bagi mengurangkan beban tugas guru di sekolah yang akan berkuat kuasa bagi sesi persekolahan baharu 2023/2024 bulan depan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, antara contoh pertandingan dan sambutan itu termasuk pertandingan keceriaan pusat sumber, tandas tercantik, bilik operasi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) terbaik dan seumpamanya.

Beliau berkata, kementerian turut menetapkan bahawa pelantikan pengawas peperiksaan awam dikendalikan Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dibuka kepada individu selain guru.

“Pelantikan itu terbuka untuk pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT), namun ia perlu memenuhi kriteria ditetapkan.

“Selain itu, kami juga akan mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang melibatkan guru kepada setahun sekali sahaja,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, bermula sesi persekolahan baharu juga, waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid ditetapkan pada masa lebih fleksibel iaitu 12 tengah hari untuk sesi pagi dan 5 petang untuk sesi petang bagi mengelakkan kesesakan dalam sistem.

Fadhlina berkata, KPM turut mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja.

Menurutnya lagi, pihaknya turut menetapkan ringkasan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) di peringkat KPM bagi memastikan ia kembali memenuhi keperluan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil.3/1999, yang merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi.

“Kami juga akan memperkukuh autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan,” katanya.

Katanya, kesemua insiatif segera itu dilaksana bagi mendukung tujuh teras utama KPM untuk melahirkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

Jelasnya lagi, kesemua langkah ini akan diperincikan oleh pengurusan tertinggi KPM dan akan dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2023/2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya