KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor tambah baik polisi Rumah Selangorku bagi memastikan pemohon dapat ditawarkan rumah pertama dengan mensasarkan pembinaan sebanyak 60,000 unit menjelang tahun 2025.
Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, jumlah permintaan yang aktif kini melebihi penyediaannya.
“Setakat 1 Februari tahun ini, sebanyak 83,603 permohonan aktif direkodkan berbanding 50,036 buah rumah yang telah ditawarkan dalam pasaran.
“Sementara itu, dalam senarai menunggu kita mempunyai sebanyak 146,987 permohonan.
“Kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) yakin sasaran ini dapat dicapai. Bagi tempoh 2023 sahaja, sebanyak 7,500 unit Rumah Selangorku dijangka siap dibina dan diserah kunci,” katanya dalam sidang media.
Terkini, kerajaan Selangor menawarkan pilihan unit untuk golongan bujang iaitu rumah satu bilik. Jenis rumah yang disediakan termasuk dengan dua, tiga dan empat bilik.
Harga rumah itu bermula pada RM114,750 seunit sehingga RM250,000 seunit.
Menurut Rodziah, dasar perumahan bagi rumah tersebut telah berubah dan pihaknya melulus serta mengesahkan pelaksanaan dasar Rumah Selangorku 3.0 sebagai penambahbaikan seiring dengan evolusi ekonomi negeri itu.
“Penambahbaikan itu bertujuan meneruskan komitmen kerajaan Selangor untuk menyediakan rumah mampu milik bagi golongan sasaran ketika negara dalam proses pemulihan ekonomi akibat Covid-19 dan peningkatan harga bahan mentah.
“Kami juga mahu memenuhi permintaan majoriti daripada golongan pemohon belia di bawah umur 30 tahun serta perbanyakkan Rumah Selangorku di kawasan bandar,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan Selangor juga pertimbang beberapa kaedah untuk memudahkan pembeli rumah pertama kali iaitu setiap pembelian Rumah Selangorku 3.0 adalah termasuk kos guaman, kos pindah milik (MOT) dan kos penyelenggaraan selama dua tahun yang dibiayai pemaju. – UTUSAN