6 individu termasuk penjawat awam direman 5 hari - Utusan Malaysia

6 individu termasuk penjawat awam direman 5 hari

SERAMAI enam individu termasuk empat penjawat awam direman lima hari di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang hari ini berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’ sejak tujuh tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seramai enam individu termasuk empat penjawat awam direman lima hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’ sejak tujuh tahun lalu.

Perintah reman ke atas kesemua suspek termasuk seorang wanita berusia antara 36 hingga 56 tahun itu dikeluarkan Majistret Azlan Basri selepas mendapat permohonan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.

Suspek yang terdiri daripada penguat kuasa agensi di laut itu dikatakan meminta rasuah supaya tiada tindakan undang-undang diambil ke atas bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Terdahulu, keenam-enam suspek yang diiringi pegawai SPRM tiba di pekarangan mahkamah pukul 10.19 pagi.

Suspek wanita yang juga orang awam kelihatan menangis teresak-esak sebelum dibawa masuk ke kamar mahkamah bagi proses reman.

Menurut sumber, seramai tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan semalam di sekitar Pulau Pinang antara pukul 9 pagi hingga 10 malam.

Bagaimanapun, seorang suspek lelaki dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas kenyataannya direkodkan.

Terdahulu, SPRM menahan 17 individu termasuk sembilan penjawat awam di Kedah dan Pulau Pinang kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’ sebagai balasan melindungi serta tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 bagi tempoh antara 2015 hingga 2022.

Menerusi Op Tunda itu, seramai 10 individu termasuk seorang wanita terdiri daripada lima penjawat awam dan lima orang awam berusia antara 26 hingga 57 tahun ditahan di sekitar Perlis, Kedah, Perak, Johor dan Kuala Lumpur antara pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari semalam.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi yang mengesahkan tangkapan tersebut berkata, kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya