41.8kg syabu bernilai RM1.5 juta dirampas, 7 lelaki ditahan - Utusan Malaysia

41.8kg syabu bernilai RM1.5 juta dirampas, 7 lelaki ditahan

MOHD. SHUHAILY Mohd. Zain menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas daripada sindiket yang didalangi tujuh individu dalam sidang akhbar di IPD SPU, Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Polis merampas sebanyak 41.8 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.5 juta dalam dua serbuan di daerah Seberang Perai Utara (SPU), di sini Sabtu lalu sekali gus menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi warga tempatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri itu, polis turut menahan tujuh lelaki berusia antara 26 hingga 54 tahun.

Katanya, dalam serbuan pertama, polis menahan lima individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan termasuk dua beradik di sebuah rumah di Permatang Kerai Besar, pukul 8.45 malam.

“Hasil pemeriksaan menemukan 11 bungkusan plastik warna kehijauan berlabel teh Cina dan dua peket plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan dadah jenis syabu.

“Ekoran penahanan itu, polis melakukan serbuan kedua keesokan hari di Bertam Perdana dan menahan dua lagi individu pukul 8 pagi.

“Sebanyak 30 bungkusan plastik jenis sama ditemui dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dan kita percaya kedua-dua suspek sedang melakukan urusan jual beli ketika serbuan dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU, di sini hari ini.

Beliau berkata, empat kenderaan dan wang tunai RM1,000 turut disita dengan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bernilai RM1.97 juta.

Katanya, dua daripada tujuh suspek yang ditahan bekerja sebagai pemandu lori dan mekanik manakala selebihnya penganggur.

“Hasil risikan mendapati, sindiket ini bergiat aktif sejak pertengahan tahun lalu dengan tumpuan kepada pasaran tempatan.

“Ujian saringan air kencing kelima-lima suspek dalam serbuan pertama positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripadanya turut memiliki rekod membabitkan pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.

“Selain itu, salah seorang daripada suspek yang ditahan dalam serbuan kedua turut memiliki rekod kesalahan mengikut Akta Racun 1952,” katanya.

Jelas beliau, kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 3 Februari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.