320,000 pencarum desak benarkan pengeluaran bersasar

320,000 pencarum desak benarkan pengeluaran bersasar

MOHAMMAD Farhan Jailani (kiri) dan S. Shashi Kumar (kanan) menyerahkan memorandum kepada Muhammad Fikri Khalid (dua kanan) bagi menuntut Pengeluaran Kecemasan KWSP Bersasar di pekarangan Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 320,000 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mempunyai baki simpanan melebihi RM100,000 mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan itu secara bersasar.

Presiden Global Human Rights Federation (GHRF), S. Shashi Kumar berkata, desakan tersebut disuarakan kerana rakyat ketika ini sedang bergelut dengan situasi ekonomi negara yang terjejas teruk selepas pandemik Covid-19 serta tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Menurutnya, kerajaan juga tidak seharusnya memainkan sentimen pencarum KWSP memiliki jumlah simpanan yang sangat kecil dan di bawah RM10,000 kerana rata-rata yang mendesak untuk pengeluaran kecemasan itu kebanyakannya mempunyai jumlah simpanan di dalam akaun persaraan melebihi RM100,000.

“Pengeluaran kecemasan KWSP secara bersasar ini perlu disegerakan, bukan sebab peningkatan kos sara hidup sahaja, tapi ramai yang kehilangan kerja ketika pandemik dan kini susah untuk mendapat pekerjaan baharu akibat faktor umur.

“Kalau kita lihat lebih ramai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu rakyat dalam kesusahan, tapi ada ke ahli Parlimen yang pergi ke kawasan masing-masing, dekati dan tanya masalah rakyat?” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membenarkan pengeluaran KWSP di luar bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Terdahulu, tiga NGO terdiri daripada GHRF, Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tampil menyerahkan memorandum yang disampaikan kepada Pembantu Khas kepada Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Muhammad Fikri Khalid.

Mengulas lanjut, Shashi berkata, Kerajaan Perpaduan perlu mempertimbangkan isu ini secara lebih serius dan membenarkan pengeluaran KWSP tanpa ditangguh lagi.

“Pengeluaran KWSP ini mungkin bukan penyelesaian kekal tetapi ia pasti membantu banyak pihak untuk meringankan beban terutamanya bagi golongan B40 dan M40. Mereka memerlukannya untuk menjalani kehidupan dan membebaskan diri daripada beban hutang kewangan yang menghantui ketika ini,” ujarnya.

Timbalan Presiden PGIRM, Mohammad Farhan Jailani pula mempersoalkan apa ertinya hari persaraan jika rakyat akan ‘mati’ hari ini kerana masih ramai yang belum bangkit akibat pandemik Covid-19.

“PGIRM dan GHRF memahami kegusaran kerajaan terhadap hari persaraan pencarum sekiranya pengeluaran KWSP dibenarkan, tetapi rakyat memerlukannya untuk meneruskan kehidupan mereka. Lagipun ini adalah wang hasil titik peluh rakyat dan bukan hak kerajaan.

“Kesannya kita dapat lihat ketika ini apabila ramai yang hilang rumah, harta benda dan masih menanggung hutang yang banyak serta kes-kes penceraian dan bunuh diri di mana statistik menunjukkan ia semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pencarum, Uma Devi, 49, berkata, selama empat tahun dia terpaksa bergantung hidup dengan bantuan yang disalurkan pelbagai NGO selepas kehilangan pekerjaan pada tahun 2018.

Jelas ibu tunggal kepada tiga cahaya mata berusia 21 hingga 11 tahun itu, dia hanya bergantung hidup dengan wang KWSP dari pengeluaran yang dibenarkan sebelum ini serta bantuan yang disalurkan NGO kerana sehingga kini masih gagal untuk mendapatkan pekerjaan tetap.

“Saya mempunyai simpanan di dalam akaun KWSP melebihi RM100,000 dan sangat terdesak untuk menggunakannya demi menampung perbelanjaan dan persekolahan anak-anak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.