31 keldai akaun ditahan babit kerugian RM2.82 juta - Utusan Malaysia

31 keldai akaun ditahan babit kerugian RM2.82 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 29 kertas siasatan telah dibuka Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berhubung kegiatan ‘keldai akaun’ membabitkan kerugian RM2.82 juta sejak awal Januari hingga 20 Februari tahun ini.

Sepanjang tempoh sama, seramai 31 individu disyaki keldai akaun ditahan sepanjang operasi di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, tangkapan terhadap keldai akaun terbabit dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD Petaling Jaya, hasil maklumat dan risikan yang dilakukan.

Kata beliau, perbuatan keldai akaun adalah satu jenayah yang boleh disabitkan dengan undang-undang dan semua tangkapan telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Sindiket memperdaya mangsa sehingga mereka sanggup meminjamkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor PIN dengan bayaran antara RM200 hingga RM2,000 bagi setiap transaksi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, modus operandi sindiket untuk mendapatkan akaun berkenaan adalah melalui tawaran iklan di media sosial atau melalui rakan dengan jumlah bayaran tertentu.

“Sasaran mereka terdiri daripada golongan yang memerlukan sumber kewangan dan pihak polis juga dapat membezakan golongan ini adalah mangsa keldai akaun atau bersubahat dengan sindiket dengan melihat laporan polis yang pernah dibuat oleh mereka.

“Bagi mangsa keldai akaun pula secara kebiasaannya mereka mengalami kehilangan kad ATM sebelum membuat laporan polis bagi tujuan melindungi mereka daripada perkara berbangkit dikemudian hari,” jelasnya.

Beliau berkata, bagi mereka yang bersubahat dengan sindiket pula, akaun keldai yang dimiliki mereka biasanya lebih mempunyai hubungan dengan sindiket seperti adanya kemasukan wang yang mencurigakan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai ramai supaya segera membuat laporan polis jika kehilangan apa sahaja dokumen diri yang penting bagi mengelakkan daripada mana-mana sindiket manggunakan maklumat tersebut untuk aktiviti-aktiviti haram.

“Jangan membenarkan individu lain menggunakan akaun peribadi kita tanpa menyiasat kesahihan alasan yang diberi sekaligus melindungi diri daripada menjadi mangsa keldai akaun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya