30 projek rintis Jendela@PPR dijangka siap menjelang April ini

30 projek rintis Jendela@PPR dijangka siap menjelang April ini

NGA Kor Ming melihat kemudahan internet yang disediakan menerusi inisiatif Program Jendela@PPR ketika sesi lawatan ke PPR Taman Bagan Jaya, Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Program Jendela@PPR yang melibatkan 30 projek rintis untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) dan meliputi 13,218 unit rumah di seluruh negara dijangka siap sepenuhnya menjelang April ini.

Apabila siap, ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 53,000 isi rumah khususnya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah atau B40 untuk menikmati kemudahan mengakses internet secara percuma selama sembilan bulan.

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ketika ini, sebanyak 27 daripada 30 projek rintis bernilai RM22 juta itu telah hampir siap dengan melibatkan kerja-kerja pemasangan kabel gentian optik, ‘router’ dan modem serta perkhidmatan internet berkapasiti 30Mbps di setiap unit rumah.

“Selepas tempoh sembilan bulan (mengakses internet secara percuma) ini, PR1MA (Perbadanan PR1MA Malaysia) akan memperkenalkan pula pakej internet berkelajuan 30, 60 dan 100Mbps secara pilihan dengan harga yang sangat kompetitif dan penghuni PPR boleh melanggan perkhidmatan itu mengikut kemampuan masing-masing.

“Saya yakin dengan adanya kemudahan seperti ini, golongan pelajar sekolah khususnya tidak ada masalah lagi untuk buat kerja rumah secara online berbanding dahulu, ini adalah hadiah atau ‘angpau’ untuk rakyat di PPR,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan ke PPR Taman Bagan Jaya di sini hari ini.

Kira-kira 1,488 penduduk di PPR Taman Bagan Jaya itu dijangka menjadi kumpulan penghuni PPR pertama di Pulau Pinang yang akan menikmati kemudahan internet secara percuma selama sembilan bulan terbabit.

Difahamkan, kerja-kerja pelaksanaan program Jendela@PPR di PPR Taman Bagan Jaya yang melibatkan 382 rumah itu dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya bulan depan.

Dalam pada itu, Kor Ming turut memuji Pulau Pinang selaku negeri pertama yang mewajibkan kemudahan mengakses internet sebagai sebahagian daripada keperluan asas dan utiliti untuk membangunkan satu-satu projek.

“Dulu, nak buat sesuatu projek pembangunan, utiliti atau asasnya hanyalah air dan elektrik. Dalam hal ini, Pulau Pinang adalah negeri pertama (yang mewajibkan internet dalam pembangunan),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya