3 pegawai Smart bantu PBB koordinasi pasukan pelbagai negara - Utusan Malaysia

3 pegawai Smart bantu PBB koordinasi pasukan pelbagai negara

DUA pegawai Smart berbincang dengan petugas PBB di Pusat Berlepas Penerimaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Adana, Turkiye. - SMART

PUTRAJAYA: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) melakar sejarah apabila membantu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk operasi gempa bumi di Turkiye.

Menerusi hantaran dalam laman sosial rasminya hari ini, tiga pegawai Smart dihantar untuk bertugas di Pusat Berlepas Penerimaan (RDC) di bawah badan induk dunia tersebut dan mereka memiliki kepakaran bertaraf global.

“Mereka akan berkhidmat di markas pusat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Adana. Pegawai tersebut ditugas dalam mengendalikan koordinasi semua pasukan penyelamat dari pelbagai negara luar yang tiba menerusi terminal udara di wilayah Clicia itu.

“Pemilihan Smart merupakan penghormatan bagi Malaysia memandangkan Smart diiktiraf antara anggota dalam Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa PBB. Agensi dunia itu yang ditubuhkan pada 1991 lalu terlibat aktif dalam pelbagai misi bencana alam global dengan sekretariat berpusat di pejabat PBB di Geneva, Switzerland,” jelasnya.

Semalam seramai 70 anggota Smart diketuai komandannya, Mohd. Khairul Jamil selamat tiba di Istanbul disambut Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal. Mereka kemudian segera digerakkan ke Adana yang terletak 987 kilometer dari Istanbul dan hanya 222 kilometer dari Gazientep iaitu lokasi paling dekat dengan pusat gempa itu.

Hari ini juga, satu mesyuarat koordinasi antara Smart dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia yang tiba di negara tersebut diadakan bagi penjajaran operasi misi. Antaranya dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) disertai 11 aktivis berlepas dengan membawa pelbagai bantuan asas kemanusiaan untuk mangsa di sana. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN