3 lagi ladang babi dijangkiti ASF, keseluruhan 27 di Pulau Pinang kini - Utusan Malaysia

3 lagi ladang babi dijangkiti ASF, keseluruhan 27 di Pulau Pinang kini

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika menerima replika cek tajaan Flextroniks bagi program STEM Pulau Pinang, di George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Ladang-ladang babi yang dikesan positif penyakit demam babi Afrika (ASF) di Pulau Pinang terus meningkat dengan tiga buah lagi ladang dilaporkan diserang wabak itu menjadikan keseluruhan 27 ladang setakat ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sehingga semalam pecahan keseluruhan ladang babi komersial yang disahkan positif ASF adalah 18 di daerah Seberang Perai Selatan (SPS); dua di Seberang Perai Tengah (SPT, ); empat di Seberang Perai Utara (SPU) dan tiga di Barat Daya (DBD) dengan populasi babi yang terjangkit adalah 62,197 ekor.

Ujar beliau, ladang babi komersil di Barat Daya menjadi ladang terbaharu yang dikesan positif ASF itu pada minggu lalu.

“Perebakan penyakit ini ke daerah Barat Daya mungkin berpunca daripada lori-lori yang digunakan untuk mengangkut babi-babi ke rumah sembelihan, mungkin lori ini tidak disanitasi dengan betul,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 13 Januari lalu, Pulau Pinang mengisytiharkan wabak ASF di negeri itu sebagai “bencana” selepas kes dilaporkan di 11 ladang babi komersial di daerah SPS dan SPT, melibatkan 25,000 ekor babi.

Berdasarkan bancian tahun 2022 oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, terdapat 124 ladang babi di empat daerah di Pulau Pinang dengan populasi keseluruhan sebanyak 267,348 ekor.

Menurut Kon Yeow, sehingga semalam, sebanyak 11,943 ekor babi telah dimusnahkan dari ladang-ladang positif yang dikenal pasti dengan kerja-kerja pemusnahan masih giat dijalankan bagi mengekang penularan penyakit.

Jelas beliau, bangkai babi yang dilupuskan ditanam di satu kawasan yang jauh dari penempatan awam dan tiada pembangunan bagi memastikan tidak berlaku kacau ganggu kepada orang awam.

Katanya, sekiranya ladang-ladang babi komersil yang disahkan dijangkiti ASF mempunyai keluasan tanah yang mencukupi, bangkai babi akan dilupuskan di kawasan ladang terbabit.

“Sekiranya keluasan ladang tidak mencukupi, maka bangkai itu perlu ditanam di kawasan lain dan kawasan tanah di SPS mencukupi untuk menanam bangkai babi yang dijangkiti ASF,” katanya.

Tambah beliau, JPV negeri juga telah menghantar permohonan pampasan bagi 10 ladang babi yang telah selesai proses pelupusan kepada Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar (IPPV) di Putrajaya untuk dibawa ke peringkat Kerajaan Persekutuan bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu, katanya, orang awam dinasihatkan tidak berasa cemas dengan kejadian penyakit ASF kerana ia bukan penyakit zoonotik dan hanya menjangkiti ternakan babi serta babi hutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya