285 saman, 81 motosikal disita, operasi malam minggu - Utusan Malaysia

285 saman, 81 motosikal disita, operasi malam minggu

Motosikal
SEBAHAGIAN daripada 81 motosikal yang di sita dibawa ke IPD Shah Alam dalam Operasi Khas Kesalahan Nombor Pendaftaran dekat Dataran Kemerdekaan di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Aktiviti ‘melepak’ sekumpulan ‘mat rempit’ pada malam minggu Sabtu lalu berakhir diluar jangka apabila sebahagian besar mereka di saman atas pelbagai kesalahan selepas polis memeriksa 312 motosikal dan kenderaan lain dekat Dataran Kemerdekaan, di sini.

Dalam pemeriksaan tersebut, sebanyak 285 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan daripada jumlah itu, sebanyak 94 saman dikeluar atas kesalahan berkaitan nombor pendaftaran.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, tindakan tersebut diambil Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam melibatkan 89 pegawai dan anggota.

“Operasi Khas Kesalahan Nombor Pendaftaran ini dilaksanakan serentak diseluruh negara setelah banyak rungutan yang diterima polis daripada pelbagai pihak dalam kalangan masyarakat mengenai ketidakpatuhan rakyat terhadap peraturan jalan raya.

“Selain itu, hasil operasi khas ini juga sebanyak 81 buah motosikal pelbagai jenis dinaiki penunggang berusia 16 hingga 24 tahun disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak mempunyai lesen memandu kelas B2 dan pelbagai kesalahan lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, selain kenderaan, polis turut memeriksa 341 individu yang berada di lokasi tersebut, bagaimanapun tiada tangkapan berkaitan dadah dibuat.

“BSPT IPD Shah Alam akan terus komited dalam menjalankan penguatkuasaan bagi memberikan peringatan dan kesedaran kepada pengguna kenderaan agar semua pengguna kekal selamat semasa berada di atas jalan raya.

“BSPT IPD Shah Alam juga menasihatkan orang awam agar sentiasa mematuhi peraturan jalanraya yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.