24 pelajar UniSZA terima sumbangan komputer riba

24 pelajar UniSZA terima sumbangan komputer riba

AZLI Abdul Aziz (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan komputer riba kepada salah seorang pelajar sambil diperhatikan Dr. Fadzli Adam (kiri) di UniSZA, Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seramai 24 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) daripada 11 fakulti menerima sumbangan komputer riba secara percuma hari ini.

Kesemua pelajar itu menerima komputer riba melalui manfaat wakaf UniSZA daripada hasil wakaf dan infaq sebuah syarikat iaitu Lieos Technology Sdn. Bhd..

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Tani UniSZA, Nur Syamiha Aqwa Mazlan, 20, berkata, beliau sangat bersyukur dan terharu apabila menerima komputer riba percuma itu kerana sudah lama diidamkan selama ini.

Dia yang juga seorang anak yatim piatu berkata, pemberian itu dapat memudahkannya untuk membuat tugasan yang diberikan pensyarah dan belajar secara dalam talian.

“Sebelum ini, saya berkongsi komputer riba dengan kakak kerana tidak mampu untuk membelinya disebabkan masalah kewangan.

“Alhamdulillah, hari ini rasa lega sangat dan berterima kasih kepada pihak UniSZA atas keprihatinan mereka dan syarikat swasta itu yang mengagihkan komputer riba ini,” katanya yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan. 

Penyerahan komputer riba itu disampaikan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Fadzli Adam di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah Urusan Syarikat Lieos Technology Sdn. Bhd., Azli Abdul Aziz.

Seorang lagi penerima, Muhammad Hussin Mohd Ilias, 22, berkata, dia amat memerlukan komputer riba bagi menyelesaikan tugasan pengajian dalam jurusan Diploma Teknologi Maklumat.

“Selama ini, saya terpaksa guna komputer riba kakak saya yang sudah lama usianya. Jika ada tugasan yang memerlukan aplikasi yang canggih pula, saya akan pinjam komputer riba rakan atau ke makmal untuk menyiapkan tugasan.

“Alhamdulillah berkat kesabaran, akhirnya hari ini saya menerima komputer riba yang bersesuaian dengan jurusan saya daripada UniSZA, terima kasih tidak terhingga saya ucapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.