KUALA LUMPUR: Sebanyak 2.5 juta pengguna kenderaan persendirian sudah mendaftar aplikasi MyJPJ sejak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan pengguna tidak perlu lagi mempamerkan lesen kenderaan motor mereka pada Jumaat lalu.
Menurut Anthony, jumlah pendaftaran itu boleh disimpulkan sebagai satu kejayaan serta penerimaan bagi rakyat.
Tambahnya, masalah teknikal yang berlaku pada sistem MyJPJ itu sudah dijangkakan kerana kenaikan trafik bagi laman web tersebut.
“Kita akui hari pertama dan hari kedua ada masalah teknikal pada sistem itu tetapi setakat yang saya dapat laporan pagi tadi, sistem itu telah distabilkan.
“Saya dimaklumkan dalam satu saat terdapat 500,000 orang menunggu untuk mendaftar,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Arts on The Move di stesen MRT Pasar Seni, semalam.
Mengenai naik taraf kemudahan pengangkutan awam negara, Anthony berkata, kementerian itu mempunyai beberapa program untuk meningkatkan penggunaan bas awam.
“Kita ada perkhidmatan myBAS di beberapa ibu negeri yang telah dilanjutkan termasuk di Johor Bahru, Seremban, Kangar, Ipoh dan Kuantan.
“Di bandar raya yang belum ada, kita cuba tambah baik dan kita akan membantu syarikat-syarikat operator untuk meneruskan perkhidmatan mereka melalui subsidi dan insentif yang diberikan oleh Kementerian Pengangkutan,” katanya. – UTUSAN