12 nelayan ditahan tangguk siput, nilai rampasan RM207,000 - Utusan Malaysia

12 nelayan ditahan tangguk siput, nilai rampasan RM207,000

ANTARA hasil tangkapan siput retak seribu yang ditangguk secara haram di perairan Kuala Perlis dirampas menerusi pemeriksaan Op Aman di perairan Kuala Perlis hari ini. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dua bot nelayan tempatan kelas A ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi pemeriksaan Op Aman di dua lokasi berbeza sekitar perairan Kuala Perlis, di sini hari ini.

Pemeriksaan bot pertama dilakukan pada kedudukan 2.9 batu nautika barat Kuala Perlis sekitar pukul 12.31 pagi, manakala bot kedua pula ditahan selang 23 minit kemudian di kedudukan 5.1 batu nautika barat daya Kuala Perlis,

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, menerusi pemeriksaan dilakukan, pihaknya mendapati bot nelayan itu yang berpangkalan di Kuala Kedah disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8(b) dan Seksyen 11 (3)(c).

“Rampasan turut dilakukan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM207,000 membabitkan dua buah bot bersama enjin, dua set sangkar besi dan siput retak seribu seberat 3,000 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Mohd Hashim berkata, dua orang tekong bersama sepuluh kru bot berkenaan berusia antara 22 hingga 49 tahun turut ditahan dalam pemeriksaan berkenaan.

Katanya, barang rampasan bersama semua nelayan warga tempatan itu turut diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

“Penahanan bot ini dibuat berdasarkan maklumat awal risikan yang diterima mengenai aktiviti menangguk siput secara haram itu di sekitar perairan Kuala Perlis,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata, walaupun pihaknya kerap melakukan rondaan namun aktiviti menangguk siput secara haram masih giat dilakukan biar pun dalam keadaan bergelap demi mengaut keuntungan.

Kata beliau, pihaknya sentiasa mengambil maklum terhadap aduan awam berhubung sebarang pelanggaran undang-undang yang berlaku di laut dengan memperhebatkan rondaan dan pemantauan sekitar sempadan mahu pun perairan negara dari semasa ke semasa.

“Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 untuk maklum balas segera,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.