10 syarikat hantar tender dapatkan nadir bumi

10 syarikat hantar tender dapatkan nadir bumi

LAPORAN Utusan Malaysia pada 3 Oktober tahun lalu mengenai kecurian nadir bumi di Sik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak 10 syarikat sudah menghantar tender untuk membuat bidaan bagi mendapatkan elemen nadir bumi (REE) yang dicuri dari Bukit Enggang di Sik, seperti didedahkan Utusan Malaysia pada Oktober tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau difahamkan harga rizab bagi kesemua REE tersebut dianggarkan bernilai kira-kira RM2.9 juta dengan tender tersebut diuruskan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk proses pelupusan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama syarikat yang terbabit dalam membuat bidaan tersebut.

“Saya ada tanya satu agensi yang pakar dalam bidang ini dan mereka kata harga rizab itu tidak murah tetapi tidak juga mahal. Jadi mana-mana pihak yang kata kononnya kerajaan rugi berbilion ringgit bolehlah masuk tender juga untuk beli kerana harga rizab RM2.9 juta sahaja.

“Dengan cara itu, sudah tentu mereka boleh untung banyak seperti dicanang. Saya sendiri hairan bagaimana ada pihak yang tak terlibat dalam hal ini, tetapi nampak macam pandai sangat sampai buat forum di sana-sini dan tahu segala-galanya termasuk harga REE tersebut.

“Saya takut juga entah-entah mereka sebenarnya orang yang mencuri itu. Bukanlah nak tuduh tetapi mereka itu nampak macam ‘alim’ sangat dan tahu segala-galanya, maka mereka ini siapa dan buat projek REE di mana sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, malam tadi.

Utusan Malaysia pada 3 Oktober tahun lalu membuat pendedahan eksklusif mengenai kecurian REE yang berlaku di Hutan Simpan, Bukit Enggang di Sik.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki warganegara China dikenakan dua kompaun oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) dan PTG menerusi Pejabat Pengarah Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berjumlah RM630,000.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, terdapat perbincangan antara beberapa pihak sebelum ini untuk menjadikan lokasi kecurian REE tersebut sebagai tapak penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mengekstrak REE.

Katanya, secara peribadi beliau merasakan adalah sesuatu yang merugikan jika lokasi tersebut dibiarkan begitu sahaja tanpa mana-mana pihak mengambil manfaat daripadanya terutama dalam aspek percambahan ilmu ketika negeri ini hanya menunggu prosedur operasi standard (SOP) tepat ditetapkan kementerian bagi mengekstrak REE tersebut.

“Kita tidak ada pengalaman mengekstrak REE, jadi apa salahnya lokasi itu dijadikan tapak penyelidikan untuk melaksanakan kerja-kerja itu. Saya maklumkan kepada MBI Incorporated kalau lokasi itu tak dimusnahkan lagi, cubalah guna kaedah in-situ leaching (ISL) di situ.

“Selain itu ada lagi kaedah-kaedah lebih moden yang menggunakan mesin sepenuhnya yang boleh mengekstrak, mengambus dan mengeringkan REE itu secepat mungkin sekaligus menjadikannya lebih efisien. Saya akan panggil pihak-pihak terlibat dalam industri untuk beri taklimat berkaitan perkara itu nanti,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya