Yasin gagal kaji tuduhan dadah, representasi ditolak - Utusan Malaysia

Yasin gagal kaji tuduhan dadah, representasi ditolak

MUHAMMAD Yasin Sulaiman dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas keputusan representasi kes dadah. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman gagal dalam permohonan untuk mengkaji tiga pertuduhan berkaitan dadah selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakannya.

Sehubungan itu, Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan kes berkenaan disebut pada 20 Februari ini.

Dengan perkembangan itu, Yasin kekal dibicarakan selama 15 hari bermula Mac iaitu pada 6 hingga 10, 13 hingga 17 dan 20 hingga 24 Mac manakala 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.

Ketika ditemui wakil media selepas prosiding itu, Yasin meluahkan kesedihan dan rasa terkilan dengan keputusan representasi tersebut namun akan terus berjuang di mahkamah menghadapi pertuduhan yang dikenakan.

“Representasi pertama ditolak mungkin ada masalah teknikal namun saya akan tulis sendiri untuk representasi kedua,” jelasnya.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah memaklumkan representasi itu ditolak namun surat rasmi berhubung perkara itu belum sempat dikeluarkan.

“Saya percaya tarikh perbicaraan seterusnya ialah pada 6 Mac ini,” katanya ketika memaklumkan keputusan representasi tersebut.

Peguam Ariff Azami Hussein ketika mengesahkan keputusan representasi memaklumkan pihak pembelaan belum menerima makluman berhubung perkara itu.

“Kami belum menerima makluman secara bertulis atau emel, namun kami mendapat arahan terkini daripada anak guam untuk memasukkan representasi kedua selewat-lewatnya dua minggu dari tarikh hari ini,” kata peguam itu.

Pada prosiding sebelum ini, pihak pembelaan memaklumkan representasi antaranya melibatkan dokumen-dokumen perubatan yang agak komprehensif bagi memohon pertuduhan dikaji.

Representasi setebal 47 muka surat itu turut mengandungi rawatan yang diperlukannya, alasan kemanusiaan, rayuan melibatkan keluarga dan keadaan terkini Yasin.

Pada 6 Julai tahun lalu, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, bernasib baik apabila tidak berdepan dengan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis Kanabis seberat 214 gram.

Perkara itu berikutan pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan mengedar ditarik dan Yasin dituduh dengan pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Mengikut pertuduhan baharu itu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Yasin turut didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Yasin turut didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) akta itu dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya