Warga emas maut selepas tuntut hutang RM250

Warga emas maut selepas tuntut hutang RM250

KEADAAN mangsa maut selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah kedai makan di Jalan Prima 2, Metro Prima, Kepong, Kuala Lumpur. - GAMBAR IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Seorang warga emas maut selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah kedai makan di Jalan Prima 2, Metro Prima, Kepong, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi tadi, mangsa berusia 76 tahun dikatakan menagih hutang RM250 daripada rakan lamanya sehingga tercetus pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pergaduhan membabitkan dua lelaki berkenaan berlaku di hadapan kedai yang mana kira-kira 100 meter lokasi mangsa ditemukan meninggal dunia.

“Dalam pergaduhan itu, mangsa dipukul suspek berusia 63 tahun menggunakan sebuah kerusi plastik, manakala mangsa membalas serangan suspek menggunakan rod kabel,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Eng Lai berkata, pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang berada di lokasi kejadian.

“Mangsa kemudian beredar dengan berjalan sebelum rebah dan meninggal dunia di tepi jalan berhampiran lokasi kejadian.

“Kami menahan suspek ketika dia hadir di Balai Polis Kepong bagi membuat laporan berhubung pergaduhan itu kira-kira pukul 11 pagi tadi,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas kerusi plastik dan rod kabel yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu bagi membantu siasatan.

“Semakan dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Tambah Eng Lai, mayat mangsa dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya