Warga emas didakwa terima, pindah wang aktiviti haram RM700,000 - Utusan Malaysia

Warga emas didakwa terima, pindah wang aktiviti haram RM700,000

AHMAD Yusri Mohd. Yunus diiiringi pihak polis ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan berkaitan aktiviti haram. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan menerima, memindahkan dan melupuskan wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan lebih RM700,000, tiga tahun lalu.

Ahmad Yusri Mohd. Yunus, 67, meminta dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut empat pertuduhan, dia didakwa menerima wang berjumlah RM705,625 yang merupakan hasil aktiviti haram daripada sebuah syarikat ke akaun semasa miliknya.

Bagi tiga pertuduhan lain, dia dituduh memindahkan wang RM77,000 yang juga hasil aktiviti haram secara dalam talian sebagai bayaran kepada tiga syarikat berlainan.

Dua lagi pertuduhan, Ahmad Yusri didakwa melupuskan RM490,285 yang juga hasil wang haram melalui akaun bank miliknya.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank di Taman Maluri, Cheras, di sini antara 6 dan 13 November 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Perenggam 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Perenggan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan

Bagaimanapun, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya diberikan ikat jamin pada kadar rendah.

“Dia sudah diisytiharkan muflis, tidak bekerja, menghidap kecing manis dan baru menjalani pembedahan lutut,” katanya.

Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac depan untuk sebutan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya