Wanita ditemukan mati selepas tiba dari ibu negara - Utusan Malaysia

Wanita ditemukan mati selepas tiba dari ibu negara

MOHD. ZAIN MAT DRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seorang wanita berusia 57 tahun yang ditemukan mati, minggu lalu, dipercayai baru tiba dari ibu negara sebelum mayatnya dibuang di dalam semak di Kampung Alor Gali di sini.

Pihak polis tidak menolak kemungkinan mangsa mati di tempat lain berdasarkan tempat mayat dijumpai dan rakaman litar tertutup (CCTV) mangsa dengan seorang suspek.

Ketua Polis Marang, Deputi Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, mangsa tiba di negeri ini dengan menaiki bas sebelum diambil oleh suspek berusia 59 tahun di Kampung Rhu Renggeh dekat sini pada 16 Januari lalu.

Menurut beliau, suspek yang menetap di Kuala Terengganu dipercayai orang terakhir bersama mangsa yang juga orang kelainan upaya (OKU) pendengaran selepas saksi melihat wanita itu dibawa menaiki kenderaan berwarna gelap.

“Hasil bantuan polis Cheras dan rakaman CCTV di sekitar Marang, kita dapat mengesan pergerakan mangsa menaiki bas, malam 15 Januari sebelum diambil suspek 10 pagi keesokan hari.

“Mangsa dikatakan pergi ke ibu negara untuk mencari pekerjaan namun ditipu dan membuat keputusan untuk kembali pulang ke Terengganu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, hasil bedah siasat, mangsa dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh 36 jam sebelum mayatnya ditemui di dalam semak di Kampung Alor Gali pada 19 Januari lalu.

Tambahnya, suspek yang merupakan seorang pesara kemudian berjaya dikesan polis dan mengekorinya sebelum ditahan di Jeli, Kelantan pada pukul 2.30 petang semalam

“Dengan tertangkapnya suspek, kami percaya kes ini berjaya diselesaikan dan suspek direman tujuh hari sehingga 1 Februari bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya