Universiti di Saudi tawar biasiswa penuh pelajar Malaysia

Universiti di Saudi tawar biasiswa penuh pelajar Malaysia

ZULKIFLI Mohamad al-Bakri ketika bertemua Mohamed Abdul Aziz ketika sela Persidangan Alumni Universiti Arab Saudi di Jakarta, Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah universiti awam di Arab Saudi menawarkan biasiswa penuh kepada pelajar Malaysia yang layak untuk mengikuti pengajian tinggi dalam 15 bidang disediakan.

Berita gembira itu dimaklumkan oleh Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi laman sosialnya yang ketika ini berada di Jakarta , Indonesia bagi menyertai persidangan di sana.

“Tawaran ini serta kuota terbuka mahasiswa Malaysia telah saya terima secara langsung daripada Rektor Universiti Malik Faisal, Dr. Mohammed Abdul Aziz Al-Ohali,” nukil beliau.

Senator Dewan Negara itu selaku bekas pelajar Universiti Islam Madinah berada di ibu kota republik tersebut sejak semalam bagi menghadiri Persidangan Alumni Universiti Arab Saudi.

Beliau dijemput sebagai Tokoh Alumni Universiti Islam Madinah serta acara itu dihadiri oleh Penasihat Diraja dan Ahli Majlis Ulama Kanan Arab Saudi; Sheikh Salih Abdullah Humaid.

Universiti Malik Faisal terletak di Hofuf dalam wilayah Al-Ahsa di timur negara itu amat terkenal sebagai lembah oasis terbesar di dunia dengan ribuan palma terutama pokok kurma.

Lokasi ‘hijau’ ini diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh pihak UNESCO sendiri dan ia turut memiliki jelapang padi beras merah dikenali sebagai hasawi yang amat bermutu tinggi.

Uniknya, universiti berkenaan yang ditubuhkan atas titah diraja pada 1975 itu berkeluasan enam kilometer persegi dengan memiliki lebih 90,000 pelajar dan 2,000 staf akademik.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, peluang tawaran untuk mahasiswa Malaysia terpilih itu juga dibuka kepada pelajar wanita dengan pengajarannya dalam bahasa Arab dan Inggeris.

“Ia menyedikan antaranya pengajian Sains, Perubatan, Pertanian, Kejuruteraan, Farmasi, Perniagaan, Undang-Undang, Sains Komputer, Pergigian dan Pemakanan,” jelas beliau.

Pihak beliau ujarnya, akan segera menghubungi pejabat rektor universiti berkenaan dan Kedutaan Diraja Arab Saudi di Kuala Lumpur bagi proses urusan yang selanjutnya pula.

Pada persidangan itu, beliau membentangkan kertas kerja bertajuk Peranan Alumni Arab Saudi bagi Mempromosikan Pemikiran Wasatiyyah, Toleransi dan Menolak Ekstremisme.

Zulkifli menekankan keperluan kepada kerajaan negara itu agar memperkukuhkan sukatan sedia ada bagi menyemai minda kesederhanaan berdasarkan manhaj Islam sebenar.

Justeru, beliau memuji usaha baik Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohamed Salman bagi memartabatkan nilai terhadap sistem pendidikan tinggi Arab Saudi.

Di hadapan tetamu, beliau juga mengimbau kembali nasihat dan pengajaran diterima lebih 30 tahun lalu daripada masyaikh atau guru ketika menuntut di Universiti Islam Madinah.

Hubungan diplomatik yang utuh antara Malaysia dan Arab Saudi ujarnya, memberi banyak faedah kepada negara dan beliau tekad menyumbang khidmat demi manfaat umat Islam.

“Anugerah tokoh alumni yang saya terima tahun lalu daripada Gabenor Madinah, Putera Faisal Salman adalah amanah besar dan jambatan untuk dunia Islam bersatu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya