UMNO tidak perlu simpan 'pembelot'

UMNO tidak perlu simpan ‘pembelot’

pau2022
UMNO melakukan `pembersihan' dalaman bagi menyingkirkan mereka yang belot kepada parti. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan ‘pembersihan’ yang dijalankan UMNO ketika ini disokong oleh ahli Majlis Tertinggi (MT) kerana parti itu berpendirian tidak perlu menyimpan pembelot mahupun pensabotaj.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Datuk Seri Sharkar Shamsudin berkata, tindakan itu tidak tertakluk kepada pemimpin besar sahaja, malah turut melibatkan peringkat bahagian dan cawangan.

“Kalau orang sudah belot dengan kita, wajar lagi tak kita simpan orang sebegini dalam parti? Wajar atau tidak mengenakan tindakan terhadap mereka?

“Soalnya sekarang ini, kalau seseorang itu menjadi ahli UMNO tetapi tidak menjiwai perjuangan UMNO, lebih baik tidak bersama dengan UMNO. Berapa kali kita ikrar akan patuh dan taat dan sebagainya. Tetapi apabla sampai waktunya, kita ingkar dengan apa yang kita ikrarkan.

“Kalau tidak setuju jumpa presiden dan gunakan saluran yang betul,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut keadaan yang berlaku di Pahang sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Sharkar berkata, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail terpaksa menukar beberapa nama calon agar selari dengan apa yang dibincangkan dengan kepimpinan parti.

“Tidak perlulah saya dedahkan siapa calon itu. Tetapi apa yang saya mahu tekankan di sini adalah, beliau boleh sahaja menyatakan ketidakpuasan hati dengan tidak secara terus kepada presiden, tetapi kita tidak lakukan seperti itu kerana masih ada disiplin dalam parti.

“Kita tak buat piket, demonstrasi dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, seorang lagi ahli MT, Datuk Seri Jalaluddin Alias turut berkata, tindakan sudah pasti harus diambil kepada pensabotaj parti meskipun sedikit sebanyak ia akan menyebabkan perpecahan.

“Mana-mana ahli yang melanggar peraturan perlu diambil tindakan kerana kita terikat dengan perundangan parti. Soal pecat atau tidak ia bergantung kepada undang-undang parti. Kalau melangar disiplin parti, kita tidak akan berkompromi dalam hal ini.

“Seperti saya dalam isu menyokong Perikatan Nasional (PN) ketika itu, saya bukan mensabotaj parti. Jadi untuk apa tindakan dikenakan terhadap saya?” soalnya lagi.

Ketika diminta mengulas mengenai perpecahan susulan tindakan yang diambil terhadap beberapa pemimpin parti seperti bekas Ketua UMNO bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua UMNO bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, Jalaluddin berkata, ia adalah dugaan yang harus dilalui ahli parti berkenaan serta parti yang memecatnya itu.

“Itu dugaan mereka, tetapi kita ada undang-undang parti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN