PETALING JAYA: Hala tuju UMNO Sabah dilihat seolah-olah bercelaru apabila parti itu tidak dapat memberi keputusan muktamad sama ada mahu bertindak sebagai sebahagian dalam Kabinet atau pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, beliau sendiri tidak dapat memberi jawapan jelas apabila ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO dilantik ke dalam Kabinet manakala sebahagiannya duduk di kerusi pembangkang.
“Saya sendiri pun bingung ada ahli UMNO yang duduk dalam Kabinet dan cakap kita adalah kerajaan negeri. Ada pula yang duduk di bahagian pembangkang.
“Walau apa pun, bagi saya, apa yang telah berlaku, biarlah berlalu. Sesiapa pun yang dilantik sebagai jemaah menteri yang baharu, saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya.
“Soal nasib mereka yang menyertai kerajaan, terpulanglah pada Bung Moktar sama ada perlu diambil tindakan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan dua ADUN UMNO yang menyertai Kabinet negeri sebagai ‘pembelot’ dan tidak mengiktirafnya kerana tidak mendapat kebenaran menyertai kerajaan.
Dua wakil rakyat itu ialah ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmy Yahya dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib. Mereka antara lima wakil rakyat menyokong pentadbiran Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
Shahelmy dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, menggantikan Bung Moktar manakala James dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.
Kelmarin, persidangan khas DUN Sabah menyaksikan tempat duduk sebahagian ADUN berubah termasuk tempat duduk Bung Moktar merangkap ADUN Lamag, Yakub (Karambunai) dan ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin yang dipindah ke blok pembangkang.
DUN Sabah mempunyai 79 ADUN menyaksikan 73 wakil rakyat dipilih dan enam dilantik. Seseorang bakal Ketua Menteri Sabah mesti mendapatkan sekurang-kurangnya 40 daripada 79 Adun untuk majoriti mudah. – UTUSAN










