UMNO bangkit semula jika kembali bersama Islam, Pas

UMNO bangkit semula jika kembali bersama Islam, Pas

pn
NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO bukan sahaja perlu kembali kepada Islam, tetapi hendaklah memilih Pas sebagai rakan kerjasama jika ingin bangkit semula selepas tewas teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan parti itu hanya menang 27 kerusi.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, drama kekalahan kali kedua UMNO berpunca akibat sikap parti itu sendiri kerana perpecahan dalaman dan kekalutan perebutan kuasa serta persaingan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah memalapkan usaha meneguhkan semangat Islam di dalam UMNO.

Justeru, beliau menegaskan, masalah itu wajar diubati dan diberikan penawar dengan UMNO hendaklah bersama Pas yang lebih mendahului parti yang lain di dalam komitmennya untuk Islam.

“Apabila anda bertaubat dan ingin membaiki diri, anda perlu mendampingi rakan yang baik. Pesakit mesti bersama doktor. Jika hanya bersama pesakit sepertinya, mereka akan saling mengeluh dan putus asa. Jika bersama bomoh serba tahu, dia akan diberi penawar beracun, mati. Justeru UMNO mesti bersama Pas.

“Malah UMNO mesti kembali kepada Islam. Musibah adalah hukuman ringan, pengajaran, jalan taubat dan lebih hebat, meninggikan darjat. Hukuman berat hanyalah dengan musibah kematian. UMNO terkena musibah pada PRU14, tetapi tidak mati. Justeru ia adalah pengajaran dan jalan taubat yang perlu dilalui.

“Sebenarnya UMNO telah menunjukkan tekad ke arah itu dan telah pun melakukan pindaan dalam perlembagaan parti mereka yang meletakkan Islam di tempat utama. Malangnya, perpecahan dalaman, kekalutan perebutan kuasa di dalam kerajaan selepas PRU14 serta persaingan dengan parti Bersatu telah memalapkan usaha untuk meneguhkan semangat Islam di dalam UMNO,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Nik Mohamad Abduh berkata, sebenarnya UMNO telah mencetuskan kerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN), malangnya salah faham berterusan yang gagal diselesaikan telah memalapkan kedua-dua hubungan itu.

“UMNO masih dua kumpulan. Kumpulan mana yang akan memimpin nanti, saya konsisten mengajak mereka untuk bersama Pas membina negara. Antara pantang saya, masuk campur urusan dalaman orang.

“Segala salah faham boleh diselesaikan. Kemenangan besar bukan dengan membunuh, tetapi dicapai dengan perdamaian. Bukankah begitu ‘Fathu Makkah’? Politik negara telah menzahirkan pelbagai kepelikan. Ia bermaksud tiada yang mustahil dalam politik. Biarlah kalau mulut kuat sembang. Jangan pula muka yang tersembam,” katanya.

Terdahulu, beliau menjelaskan dua faktor BN tewas PRU iaitu jenama yang terlalu lama, kusam dan tiada sentuhan pembaharuan berbanding Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang lebih muda, baharu dan menarik sekali gus lebih kuat menarik pengundi baharu dan perpecahan dalaman tidak diubati. 

“Kedua-dua faktor di atas adalah sunnah dan aturan Allah di dalam jatuh bangun hidup manusia,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya